'Ada cadangan semak harga minyak seminggu sekali' - Johari

Wan Syamsul Amly
Disember 24, 2015 21:23 MYT
JOHARI: Cadangan semakan harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel secara mingguan memberi manfaat kepada pengguna, pengusaha stesen serta syarikat-syarikat minyak sendiri sama ada dalam keadaan harga naik atau sebaliknya. - Gambar Fail
Cadangan semakan harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel secara mingguan dikatakan dapat mengelak lebih 3,200 pengusaha stesen-stesen minyak di seluruh negara dari mengalami kerugian.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, ia sekali gus memberi manfaat kepada pengguna, pengusaha stesen serta syarikat-syarikat minyak sendiri sama ada dalam keadaan harga naik atau sebaliknya.
"Persatuan pengusaha-pengusaha stesen minyak telah datang berjumpa saya membuat aduan mengenai masalah yang mereka hadapi mengenai sistem pengapungan harga minyak yang ditetapkan sekarang ini mengikut harga pasaran dengan perubahan harga dibuat setiap sebulan sekali.
"Apa yang berlaku sekarang ini, banyak syarikat-syarikat minyak telah menggunakan kesempatan ini dengan menghantar bekalan minyak kepada pengusaha-pengusaha stesen minyak dengan kuantiti yang banyak setiap hujung bulan jika mereka jangkakan bahawa harga runcit minyak akan jatuh untuk bulan hadapan.
"Sebaliknya jika harga runcit minyak dijangkakan naik pada bulan seterusnya, mereka akan mengurangkan penghantaran bekalan minyak kepada pengusaha stesen minyak pada setiap hujung bulan berikutnya," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Johari mengulas pertemuannya dengan wakil Persatuan pengusaha-pengusaha stesen minyak baru-baru ini.
Dalam pada itu kata Johari, antara keluhan yang diterima adalah kerugian lebih 70 peratus pengusaha stesen minyak bumiputera yang dilantik oleh sarikat-syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Caltex, Petron dan BHP.
"Kerana itu pengusaha stesen minyak telah mencadangkan supaya harga minyak ini 'disemak' mengikut harga pasaran seminggu sekali dengan perbezaan harga maksima lima sen supaya perubahan harga ini tidak menjadi terlalu ketara berbanding jika ianya dilakukan setiap bulan," jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petronas Malaysia, Khairul Annuar Abdul Aziz mencadangkan, perubahan harga tidak melebihi 5 sen. Ini bertujuan untuk mengelakkan perubahan drastik setiap kali harga berubah.
"Kami cadangkan kekerapan semakan harga dan perubahan tidak melebihi 5 sen. Ia untuk memberikan kestabilan kepada semua pihak," katanya.
Pada 2014, kerajaan mengumumkan penetapan harga runcit untuk petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah Pengapungan Terkawal dan kaedah itu menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), yang diguna pakai kerajaan sejak 1983 bagi penetapan harga runcit bahan api negara.
#JOHARI #petrol #Petronas #RON95 #RON97
;