Ada bakteria E-Coli dalam darah Arshad, doakan anak kami - Antashah

Wan Syamsul Amly
Oktober 19, 2014 09:23 MYT
ANTASHAH: Ada bakteria dalam darah Arshad, doakan pembedahan mengikut jadual - Gambar fail
Bayi yang mengidap penyakit Atresia Biliari (hati), Arshad Imanshah kini diberi antibiotik paling kuat sebelum kira-kira 10 hari lagi dia dijadual memulakan pembedahan.
Perkhabaran itu dilihat berita menyayat hati kepada bapanya, Antashah Mohd Nor dan ibunya yang berdoa tidak ada sebarang penangguhan lagi pada tarikh pembedahan hati yang dijadual 30 Oktober ini.
"Arshad demam panas sehingga 38 ke 39 celsius. Arshad diberi antibiotik paling kuat. Doktor jumpa bakteria di dalam darah Arshad.
"Hari ini kami dimaklumkan bakteria itu di dalam keluarga E-coli. Jadi ia perlu dirawat segera kerana sudah menyerang bahagian perut, usus dan hati," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Wajah terkini Arshad yang kini demam panas serta berhadapan kemungkinan penangguhan pembedahan hati - Gambar Antashah
Sejak akhir Ogos lepas, Arshad berada Singapura untuk memulakan prosedur pembedahan hati di Hospital Universiti Singapura (HUS).
Sebelum ini, pembedahan hati Arshad terpaksa ditangguhkan kerana diarrhea dan muntah-muntah selain terpaksa direhatkan untuk menjalani pemeriksaan rapi.
Kata Antashah, Arshad akan diberi antibiotik selama 10 sehingga 14 hari dan keputusan mengenai bakteria itu akan diketahui pada Isnin atau Selasa.
"Jika sudah surut dan bacaan bakteria terkawal, pembedahan hati tetap pada 30 Oktober namun jika dia demam lagi...pembedahan akan ditangguhkan dalam masa seminggu atau 10 hari," jelasnya.
Ujarnya, doktor kini memantau keadaan Arshad dan melihat tindak balas antibiotik itu.
"Doktor kata mahu tengok dahulu tindak balas antibiotik ini, seharusnya semuanya positif.
"Doktor turut meminta kami berada di hospital sehingga hari pembedahan kelak," katanya.
Arshad pulang ke Kuala Lumpur sejak akhir September lepas untuk menjimatkan kos perbelanjaan di HUS.
Ia disebabkan bil yang terlalu tinggi dan mencecah lebih RM100,000 sebelum sebarang pembedahan dibuat.
Urat Perut Arshad kini tegang dan timbul, selera makannya juga berkurangan - Gambar Antashah
Tambah Antashah, sebarang perkembangan juga akan dimaklumkan doktor dalam masa dua atau tiga hari lagi.
"Urat perut Arshad kini tegang dan timbul...selera makannya juga berkurangan.
"Bagaimanapun bacaan fungsi hati dan lain-lain masih stabil. Jika semuanya tidak ada masalah, tarikh pembedahan tidak akan berubah...doakan Arshad ya," jelasnya.
Antashah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam memberitahu, maklumat mengenai Arshad boleh diperolehi melalui; https://www.facebook.com/Arshadimanshah, #arshadimanshah, #donateRM1forbabyarshad, #donatemoreRM1forbabyarshad dan #donateandsavebabyarshad.
#antashah #Arshad #Facebook #hati #HUS #Pembedahan #Singapura
;