Ada apa dengan nama 'PetroSaudi'?

Rizal Zulkapli
April 7, 2016 18:26 MYT
Semakan Jabatan Akaun Negara (JAN) mendapati empat syarikat berbeza telah didaftarkan menggunakan asas nama 'PetroSaudi'.
Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB sama turut mendedahkan wujud salah nyata maklumat atau maklumat tidak tepat diberikan kepada Lembaga Pengarah 1MDB, termasuk berkaitan nama 'PetroSaudi'.
Semakan Jabatan Akaun Negara (JAN) mendapati empat syarikat berbeza telah didaftarkan menggunakan asas nama 'PetroSaudi', iaitu:
i. PetroSaudi International Ltd. ditubuhkan di Arab Saudi.
ii. PetroSaudi International ditubuhkan di Cayman Islands.
iii. PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. ditubuhkan di Cayman Islands.
iv. PetroSaudi International Ltd. ditubuhkan di Seychelles.
Dalam perjanjian usaha sama bertarikh 28 September 2009, (iii) PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. dirujuk dengan singkatan 'PSI' manakala Written Resolution of the Sole Director of the Company yang ditandatangani oleh Tarek Obaid, (iii) PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. dirujuk sebagai 'PSH'.
Kenyataan media 1MDB bertarikh 30 September 2009 mengumumkan termeterainya usaha sama antara 1MDB dan (i) PetroSaudi International Ltd., yang dirujuk sebagai 'PSI'.
JAN menambah Lembaga Pengarah 1MDB tidak menyedari bahawa 'PSI' dalam persetujuan usaha sama tersebut adalah merujuk kepada (iii) PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd.
Dalam kebanyakan kes, nama singkatan 'PSI' sentiasa dirujuk sebagai (i) PetroSaudi International Ltd. (Arab Saudi).
Ini menunjukkan bahawa nama singkatan PSI yang digunakan dalam perjanjian usaha sama seolah-olah untuk memberi gambaran bahawa (iii) PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd. adalah entiti yang sama dengan (i) PetroSaudi International Ltd. (Arab Saudi).
#1MDB #PAC #PetroSaudi
;