Ada Ahli Parlimen yang masih tidak faham perjalanan Dewan Rakyat - Sivamurugan

Astro Awani
Mei 26, 2023 07:15 MYT
SIVAMURUGAN: Ada wakil rakyat yang tidak faham struktur Dewan Rakyat itu berfungsi, ia memberi satu keresahan, sejauh manakah mereka sudah bersedia? - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik berharap tidak ada lagi suara-suara pertembungan yang bersifat persengketaan politik dalam Dewan Rakyat pada minggu depan.
Sebaliknya, Prof Dr Sivamurugan Pandian mahu Ahli Parlimen menjadikan Dewan Rakyat sebagai medan percambahan pemikiran dan idea yang dapat meningkatkan perubahan dari sudut kesejahteraan rakyat.
"Saya berharap pada minggu depan disentuh dan diangkat isu mengenai pemisahan ketara dalam masyarakat yang disebabkan soal perpaduan.
"Kementerian Perpaduan Negara membawa Minggu Perpaduan Negara, kenapa isu-isu sebegini tidak dibincangkan secara lebih mendalam dalam kalangan wakil rakyat?
"Kita juga harap akan ada kepentingan yang ditonjolkan kepada isu kos sara hidup. Saya rasakan isu ini perlu menjadi satu mekanisme atau instrumen jitu yang dibincang melangkau kepentingan politik.
"Jika isu ini dibincang, ia akan memberi satu nilai tambah kepada perjalanan sidang Parlimen pada minggu depan," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Sivamurugan turut membangkitkan 'gelagat' ahli-ahli Parlimen yang seolah-olah masih tidak memahami perjalanan Dewan Rakyat meskipun sudah memasuki Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Parlimen ke-15.
Katanya, ia membawa kepada percanggahan ketika berdebat sehingga menimbulkan persoalan mengenai kewibawaan seorang pemimpin sama ada mereka benar-benar bersedia atau sebaliknya.
"Pindaan undang-undang adalah sesuatu yang kerap dilakukan apabila sidang Parlimen dimulakan, namun dalam konteks minggu ini, seolah-olah ada yang tidak memahami perjalanan sistem Parlimen Westminster yang diamalkan.
"Iaitu, bagaimana standing order, point of order dan amalan konvensyen telah membawa kepada percanggahan dalam mengemukakan sesuatu usul.
"Kita tahu, apa sahaja pindaan yang mahu dibawa, semuanya itu adalah teras yang perlu dilakukan oleh wakil rakyat.
"Tetapi ada dalam kalangan wakil rakyat yang tidak memahami struktur Dewan Rakyat itu berfungsi, ia memberi satu keresahan, sejauh manakah mereka sudah bersedia?
"Ini adalah satu cabaran yang perlu dihadapi, apatah lagi ini bukan kali pertama, mungkin kali kedua kepada muka baharu.
"Begitu juga, ada yang tidak hadir ketika sesuatu usul dibawa yang memerlukan persetujuan dan sokongan. Tiba-tiba, kita lihat, satu pertiga tidak ada dalam Dewan.
"Kita harap perkara ini tidak berulang pada minggu depan," katanya.
#Dewan Rakyat #ahli Parlimen #Sivamurugan Pandian #usul
;