'Ada agensi kerajaan 'liat' bayar persembahan buskers' - MYBC

Wan Syamsul Amly
Ogos 27, 2015 17:48 MYT
MYBC: 'Ada agensi Kerajaan 'liat' bayar persembahan buskers' - Gambar Wady
Tindakan beberapa agensi yang liat untuk membayar persembahan menjadikan imej kerajaan tidak berada di peringkat memuaskan di mata penghibur jalanan.
Presiden Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) Wady Hamdan berkata, kerajaan kini perlu lebih tegas dalam memantau pegawai yang diberi tanggungjawab untuk menjalin hubungan dua hala bersama komuniti masyarakat.
"Saya kesal dan terkilan sebab selama membentuk komuniti berdaya maju dengan sokongan kerajaan, masih ada kelemahan oleh pelaksananya.
"Setinggi mana jawatan dalam kerajaan, kita tetap manusia biasa yang melakukan kesilapan. Masalahnya ialah bila berlaku kesilapan, dasar untuk membetulkan itu tidak ada tetapi melepaskan sesuatu kesalahan kepada pihak kedua bagi menjaga nama baik diri dan ini boleh diklasifikasikan sebagai satu penganiayaan.
"Masih terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan peringkat kementerian mahu pun jabatan Kerajaan. Masih ada banyak isu pembayaran tidak diterima, pembayaran lewat dan sebagainya," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.
Wady mengulas aduan beberapa ahlinya mengenai sikap agensi lerajaan yang lambat membuat pembayaran walaupun kumpulan buskers berkenaan sudah membuat persembahan berbulan-bulan lamanya.
MYBC merupakan badan bukan Kerajaan (NGO) yang mempunyai keahlian melebihi 10,000 ahli seluruh negara dan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan lain-lain.
Jelas Wady, komuniti buskers kini semakin berkembang dan menjadi trend alternatif untuk mencari sumber pendapatan.
"Satu perkara yang saya minta perubahan adalah keseriusan kerajaan dalam penyampaian agenda. Bukan sekadar mengejar nama dalam sesuatu program dianjurkan tetapi kesinambungan agenda diabaikan selepas program selesai," ujarnya.
Sebelum ini Wady mendedahkan ada segelintir pegawai kerajaan yang mengharapkan imbuhan dari program-program yang ditawarkan kepada buskers di samping ingin mendapat nama.
Kata Wady, apabila perkara sedemikian terjadi, imej dan kredibiliti buskers akan tercemar sekali gus melunturkan semangat untuk memberi kerjasama dan memastikan sokongan berjalan lancar.
#Buskers #Kelab Penghibur Jalanan Malaysia #kerajaan #wady hamdan
;