Ada agensi kerajaan dahulu yang dibiayai sumber 'mencurigakan' - Tun M
Firdaus Azil
Disember 8, 2018 15:22 MYT
Disember 8, 2018 15:22 MYT
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan terdapat sebilangan besar pekerja agensi kerajaan telah dibayar bukan menggunakan dana kerajaan.
Sebaliknya, jelas beliau, mereka ini dibayar dengan dana yang tidak dapat disahkan dari mana sumbernya.
“Dulu mereka (Kerajaan Barisan Nasional) nampak mempunyai wang yang cukup banyak, untuk parti pun ada, sehingga bermillion ringgit. Tetapi kita (Kerajaan Pakatan Harapan) tak ada duit (sebanyak itu), kita tak boleh bagi macam dulu.
“Tetapi kita prihatin dan kita nak tentukan nasib buruk yang menimpa mereka (pekerja kepada agensi yang ditutup) ini, dapat diringankan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri berkata, kebanyakan agensi itu telah disalahgunakan kerajaan terdahulu, termasuk bagi urusan kepartian.
“Kita tak dapat teruskan peranan agensi ini kerana wang yang datang dari punca kita tidak ketahui, telah diguna untuk memberi saraan, wang hadiah dan sebagainya.
“Dan kemudian datang tuduhan kita tutup (periuk nasi) itu, ini dan sebagainya, walaupun ada yang mungkin jadi mangsa tindakan kita, tetapi kita akan beri perhatian pada masalah mereka, kerana kebanyakan mereka ini tidak terlibat dalam politik,” tambahnya.
#agensi kerajan
#Barisan Nasional
#bayaran gaji kakitangan agensi
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#Tun Dr Mahathir Mohamad