Acu pisau, gunting pada ibu kandung, penggangur didakwa
Shuhada Abdul Kadir
Disember 27, 2019 15:30 MYT
Disember 27, 2019 15:30 MYT
Tindakan biadap seorang pemuda melakukan ugutan jenayah dengan mengacukan pisau dan gunting terhadap ibu kandungnya membawa padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
Tertuduh, Darulaman Jamaludin, 20, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga seorang penggangur didakwa menakutkan secara jenayah dengan mengacukan sebilah pisau dan gunting terhadap ibu kandungnya yang berusia 43 tahun di Taman Paya Rumput, pukul 11.30 malam pada 20 Disember lalu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah wang jaminan itu dikurangkan kerana tidak bekerja.
Muhammad Nazrin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh tidak menggangu mangsa.
Mahkamah turut menetapkan 3 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.