Acryl Sani bersara selepas 37 tahun berkhidmat dengan PDRM

Ridauddin Daud
Jun 22, 2023 20:33 MYT
Acryl Sani, 62, bersama isteri, Puan Sri Zaitun Mohd Isa tiba di pentas khas di hadapan padang kawad berkenaan kira-kira jam 5.00 petang. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Selepas lebih 37 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), persaraan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sebagai Ketua Polis Negara (KPN) diakhiri dengan majlis perpisahan dan paluan erundur pada petang Khamis.
Majlis dilangsungkan dengan meriah di Padang Kawad Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur.
Acryl Sani, 62, bersama isteri, Puan Sri Zaitun Mohd Isa tiba di pentas khas di hadapan padang kawad berkenaan kira-kira jam 5.00 petang.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan isteri, Puan Sri Zainah Othman serta timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan isteri, Datin Seri Zalina Mohd Ariffin.
Kira-kira 1,000 pegawai-pegawai kanan serta warga PDRM, tetamu kehormat serta wakil-wakil kedutaan luar di Malaysia hadir pada majlis berkenaan.
Sebelum majlis berakhir, Acryl Sani bersama isteri dan anak-anak diarak menggunakan kenderaan rasmi pasukan sebelum menandatangani buku pelawat di bilik pengawal PULAPOL.
Acryl Sani dilantik secara rasmi sebagai Ketua Polis Negara ke-13 pada 4 Mei 2021 bagi menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador yang tamat kontrak perkhidmatan.
Perkhidmatan beliau dilanjutkan selama dua tahun secara kontrak bermula 4 Oktober 2021 hingga 3 Oktober 2023.
Beliau baru-baru ini mengumumkan akan menamatkan kontraknya lebih awal daripada tarikh ditetapkan sebelum ini.
#KPN #PDRM #pentas khas #padang kawad
;