ACO Tech, Geno, MARii teroka penggunaan blockchain dalam infrastruktur EV Malaysia
Bernama
Februari 19, 2024 16:20 MYT
Februari 19, 2024 16:20 MYT
KUALA LUMPUR: Pembekal mobiliti pintar, ACO Tech Sdn Bhd memeterai memorandum kerjasama (MOC) dengan Geno Group Ltd dan Institut Automotif, Robotik dan IoTMalaysia (MARii) bagi mengkaji penggunaan penyelesaian blockchain bagi infrastruktur Kenderaan Elektrik (EV) Malaysia.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, pihak berkenaan berkata kerjasama itu menjadikan sektor EV yang pertama memanfaatkan teknologi blockchain pada skala industri di Malaysia.
Ia membuka jalan untuk penerokaan penyelesaian blockchain termasuk kontrak pintar, pengurusan jejak digital rantaian bekalan, penyelesaian tokenomik dan teknologi perlindungan privasi bagi melengkapkan penyelesaian platfom perkhidmatan mobiliti elektrik, iaitu asas untuk membantu memperkasakan pembangunan infrastruktur EV Malaysia.
Inisiatif itu mampu membantu memastikan privasi dan pemilikan data serta mendayakan pengewangan data, kata kenyataan itu.
Ia berkata kecekapan dan keupayaan bersama ACO Tech, Geno, dan MARii dapat menanganikebimbangan berkaitan pemilikan EV seperti kekurangan port pengecasan dan kadarpengecasan yang tidak konsisten.
Teknologi blockchain turut memperkasa pembuat EV, penyedia perkhidmatan, pemilik dan pengguna untuk melibatkan diri secara interaktif melalui sistem lejar tidak berpusat kalis gangguan, mengurangkan kos dan meningkatkan pengalaman pengguna, kata kenyataan itu.
Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan kos, meningkatkan pengalaman dan keyakinan pengguna, serta membentuk rekod penjejakan dan penyelenggaraan yang lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ACO Tech Li Pu berkata kerjasama ini merupakan langkah ke hadapan dalam pemerkasaan ekosistem EV yang komprehensif dan kondusif, dengan penekanan terhadap aspek keselamatan.
"Malaysia boleh meletakkan dirinya sebagai peneraju dalam revolusi EV di Asia Tenggara," katanya.
Sementara itu, CEO MARii Azrul Reza Aziz berkata penyelesaian blockchain mampu menangani cabaran semasa dalam sektor EV dan juga membina landasan untuk infrastruktur yang selamat.
Kerjasama ini juga selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.
-- BERNAMA