Acara “Malaysia Breakfast Business Networking” perkukuh hubungan ekonomi Malaysia-Perancis

Bernama
September 9, 2024 12:30 MYT
Matrade melalui pejabatnya di Paris menganjurkan "Malaysia Breakfast Business Networking Event" di Paris untuk mendalamkan lagi pemahaman sektor awam dan swasta Perancis mengenai landskap ekonomi Malaysia.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) melalui pejabatnya di Paris menganjurkan "Malaysia Breakfast Business Networking Event" di Paris untuk mendalamkan lagi pemahaman sektor awam dan swasta Perancis mengenai landskap ekonomi Malaysia.
Dalam kenyataan pada Isnin, Matrade menjelaskan, acara dianjurkan dengan kerjasama Business France itu bertujuan mengukuhkan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Perancis di samping mengetengahkan persekitaran perniagaan Malaysia yang rancak dan komitmen terhadap kemampanan.
Acara itu juga menjadi permulaan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, dengan negara akan mengetuai usaha untuk meningkatkan kerjasama serantau dan pembangunan mampan di seluruh Asia Tenggara, tambah Matrade.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, memandangkan komuniti global semakin menumpukan Asia Tenggara untuk kepelbagaian pasaran dan penyelesaian rantaian bekalan, Malaysia menonjol dengan ekonomi yang dinamik, masyarakat berbilang budaya dan komitmen terhadap kemampanan.
"Perancis yang terkenal dengan kepimpinan dalam inovasi, teknologi tinggi dan tenaga hijau berperanan penting dalam menyokong pelan hala tuju transformasi Malaysia ke arah kemampanan terutama dalam mencapai sasaran sifar bersih pada 2050.
"Matrade akan terus melaksanakan pelan tindakan berpandukan Pelan Tindakan Perdagangan Nasional untuk menyokong kemajuan sosioekonomi negara kita," menurutnya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Perdagangan Matrade Paris, Zuhaila Akmar Mohd Sedek berkata, komuniti perniagaan Perancis menyatakan keperluan untuk mereka lebih menyedari mengenai Malaysia, dan inisiatif itu secara langsung menyasarkan pemimpin industri perniagaan Perancis.
"Susulan perluasan Matrade Paris awal tahun ini, kita dapat menganjurkan pelbagai program rangkaian dan penggalakan untuk meningkatkan penjenamaan negara bagi Malaysia di Paris," katanya.
Matrade juga menekankan bahawa Perancis kekal sebagai antara 10 rakan dagang utama Malaysia dalam Kesatuan Eropah (EU), menunjukkan kepentingan perdagangan dua hala yang semakin berkembang.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, perdagangan dengan EU menyumbang 7.7 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 17.5 peratus tahun ke tahun kepada RM19.81 bilion pada Julai 2024.
- BERNAMA
#Matrade #Business Networking Event #Business France #ASEAN
;