Acara larian Standard Chartered dibatalkan akibat jerebu

Anthea Yap
Oktober 3, 2015 10:30 MYT
Acara larian Standard Chartered KL Marathon 2015 yang dijadual berlangsung esok telah dibatalkan susulan jerebu yang semakin buruk dan berada pada tahap tidak sihat di sekitar ibu negara.
Acara larian Standard Chartered KL Marathon 2015 yang dijadual berlangsung esok telah dibatalkan susulan jerebu yang semakin buruk dan berada pada tahap tidak sihat di sekitar ibu negara.
Dalam satu kenyataan, penganjur acara tahunan itu memaklumkan keputusan dibuat atas nasihat pasukan perubatan, Kesatuan Olahraga Malaysia dan Institut Sukan Negara (ISN).
Keputusan tersebut disokong penganjur bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penaja utama Standard Chartered Bank Malaysia, kata kenyataan itu.
"Kesihatan dan keselamatan semua pelari kekal menjadi keutamaan kami. Sejak pengumuman terakhir kami, keadaan jerebu telah mencapai tahap yang tidak sihat.
"Kami menghargai sokongan yang ditunjukkan semua peserta di dalam keadaan cuaca yang mencabar ini. Peserta yang telah mendaftar dinasihatkan ke Dataran Merdeka untuk mendapatkan kelayakan penyertaan dari 6 pagi hingga tengah hari esok (4 Okt).
"Bagi mereka yang tidak dapat berbuat demikian, langkah alternatif akan diumumkan melalui saluran media sosial Standard Chartered KL Marathon," kata kenyataan itu lagi.
Penutupan laluan dan infrastruktur sokongan walau bagaimanapun kekal dari 6 pagi hingga 9 pagi esok di sepanjang jalan-jalan terbabit iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan P. Ramlee, Jalan Ampang, Jalan Kuching, Jalan Parlimen, Jalan Cenderawasih, Jalan Lembah dan Jalan Sultan Hishamuddin.
Para peserta boleh melayari www.kl-marathon.com dan www.facebook.com/SCKLMarathon untuk mendapatkan maklumat terkini.
#acara larian #Institut Sukan Negara #jerebu #Kesatuan Olahraga Malaysia #Standard Chartered KL Marathon #tahap tidak sihat