Acah-acah culik, minta wang tebusan... Modus operandi baharu scammer
Umavathi Ramayah
Oktober 11, 2023 20:33 MYT
Oktober 11, 2023 20:33 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun menjadi mangsa penipuan scammer yang menggunakan modus operandi baharu, iaitu dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan mengarahkan mangsa supaya berpura-pura menjadi mangsa culik.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam kejadian itu, suspek dipercayai menghubungi mangsa dan memintanya untuk datang ke sebuah lokasi berhubung satu kiriman bungkusan berisi dadah atas namanya.
Menurut beliau, mangsa kemudian diperdaya untuk membayar sejumlah RM283,000 dalam beberapa transaksi, dan selepas itu mangsa diarah untuk menyembunyikan diri, seolah-olah diculik.
"Sebanyak empat transaksi pembayaran dibuat sendiri oleh mangsa bermula 30 September hingga 3 Oktober tanpa pengetahuan ibu bapanya.
"Setelah tidak lagi mempunyai wang simpanan, suspek mengarahkan mangsa melarikan diri dari rumahnya dan bersembunyi di sebuah rumah inap di Shah Alam, Selangor," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily memberitahu, selepas mangsa melarikan diri, suspek menghubungi ibu bapa mangsa dan meminta tebusan sebanyak RM300,000.
Susulan panggilan itu katanya, ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis.
Bertindak atas laporan itu, beliau memberitahu, polis menahan dua lelaki berusia 24 dan 32 tahun dalam dua serbuan berasingan dan 'menyelamatkan' mangsa.
Menurutnya, suspek pertama yang dipercayai mengeluarkan duit berkenaan ditahan di Pulau Pinang pada 6 Oktober lalu dan susulan penahahan lelaki itu, polis menahan seorang lagi suspek.
"Pemeriksaan juga mendapati, mereka tidak pernah berjumpa antara satu sama lagi," ujarnya.