Abu Sayyaf: Pemilik ladang perlu pastikan pekerja memiliki dokumen pengenalan diri - Polis
Radhi Muslim
Ogos 21, 2021 08:52 MYT
Ogos 21, 2021 08:52 MYT
SANDAKAN: Susulan penahanan dan insiden tembakan ahli kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Timbang, dekat sini, pemilik ladang di negeri ini dinasihat agar memastikan pekerja mereka memiliki dokumen pengenalan diri.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, perkara berkenaan sangat penting demi memastikan keselamatan Sabah.
Hazani berkata, jika sukar memastikan pekerja memiliki dokumen yang sah, pemilik ladang perlulah mencari jalan untuk mendokumentasikan sendiri buruh mereka.
Katanya, sebagai majikan, pemilik ladang haruslah mengetahui asal-usul pekerja ladang mereka kerana ia boleh menimbulkan pelbagai masalah keselamatan.
“Pemilik-pemilik ladang, sila pastikan pekerja mereka mempunyai dokumen.
"Kalau tidak ada dokumen, carilah jalan atau dokumentasikan mereka supaya tidak timbul masalah-masalah sebegini.
“Saya rasa pemilik pun tidak tahu sama ada pekerja mereka itu adalah anggota Abu Sayyaf, jadi pemilik perlu ambil inisiatif.
"Jangan sekadar bayar gaji mereka sebab mereka ini bayar gaji berapa pun sanggup terima,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Sandakan, pada Jumaat.
Menurutnya, nasihat berkenaan juga diberikan kepada para majikan di sektor pembinaan serta sektor berkaitan lain.
Ini kerana pihaknya percaya masih ada saki-baki ahli kumpulan Abu Sayyaf yang bersembunyi di Sabah.
“Berdasarkan pertukaran maklumat dengan pasukan keselamatan Filipina, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) dan juga pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), serta Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (APMM), kita percaya masih ada lagi saki-baki ahli kumpulan Abu Sayyaf yang bersembunyi di kawasan kita,” katanya.
Terdahulu, pada Rabu, pasukan keselamatan menyerbu sebuah kuarters ladang kelapa sawit di Pulau Timbang Sandakan sebelum menahan 11 lelaki Filipina.
Tujuh daripadanya disahkan ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf.
Dalam serbuan itu juga, beberapa suspek berjaya meloloskan diri lari ke hutan manakala dua suspek berjaya ditembak mati pada Jumaat.
Kumpulan berkenaan berpura-pura bekerja di ladang itu dipercayai merancang melakukan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan ke atas pemilik ladang di pulau berkenaan dan sekitar Sandakan.
Walau bagaimanapun rancangan itu berjaya digagalkan pasukan keselamatan.
#Abu Sayyaf
#Pulau Timbang
#Hazani Ghazali
#Pesuruhjaya Polis Sabah
#Sandakan
#tembakan
#APMM
#ATM
#ESSCom
#kelapa sawit
#buruh
#pekerja ladang