Abu mendiang Tan dibawa pulang ke Alor Setar malam ini

Bernama
April 5, 2015 20:47 MYT
Mayat ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang yang terkorban dalam nahas helikopter petang semalam, selesai dibakar dalam satu upacara di Taman Peringatan Xiao En, di sini pada pukul 4.30 petang.
Mayat ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang yang terkorban dalam nahas helikopter petang semalam, selesai dibakar dalam satu upacara di Taman Peringatan Xiao En, di sini pada pukul 4.30 petang.
Anak sulung mendiang, Tan Hon Liang, 35, berkata abu bapanya dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan dijangka diterbangkan pulang ke Alor Setar, Kedah, pada pukul 8.30 malam ini.
"Mayat ayah saya tiba di sini (Taman Peringatan Xiao En) dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 2 petang dan kemudian memulakan upacara penghormatan terakhir sebelum dibawa untuk pembakaran mayat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Peringatan Xiao En, di sini.
Beliau diiringi dua adiknya iaitu Tan Hon Yew , 27, dan Tan Lee Fong, 32, di taman peringatan itu.
Hon Liang berkata beliau merasa amat sedih kerana hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran bapanya yang ke-59.
"Bapa saya adalah seorang yang suka menderma dan banyak membuat program kebajikan amal di seluruh negara. Bapa saya juga kawan baik Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang turut terkorban dalam nahas helikopter itu.
"Saya tahu kejadian itu daripada adik ipar saya yang menghubungi saya pada pukul 6.30 petang semalam semasa saya di Pulau Pinang. Pada masa tu saya tidak begitu percaya dan selepas pukul 8 malam, saya cubadapatkan pengesahan lagi dan mendapati benar bahawa ayah saya terkorban dalam nahas helikopter itu," katanya.
Sementara itu, seorang rakan kongsi mendiang, Datuk Marina Mahammad, 59, berkata mendiang adalah seorang yang baik, bertimbang rasa dan mengambil berat akan pekerjanya.
"Saya mengenali mendiang hampir 20 tahun dan kami dah macam adik-beradik. Saya amat terasa kehilangan mendiang.
"Kami merancang untuk berjumpa selepas majlis perkahwinan anak perdana menteri di Pekan, Pahang semalam. Tapi apa boleh buat mendiang menemui ajalnya. Saya terkilan dan sedih dengan kejadian itu," katanya.
Tan adalah antara enam mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Sungai Lalang, Semenyih, petang semalam.
#nahas helikopter #Semenyih #Tan Hon Liang #Tan Huat Seang
;