Abu Kassim bakal jawat semula jawatan KP SPRM?
Hafiz Marzukhi
Mei 15, 2018 08:05 MYT
Mei 15, 2018 08:05 MYT
Spekulasi sama ada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed akan kembali menerajui agensi tersebut terus bertiup kencang.
Namun sehingga kini masih tidak dapat dipastikan apakah ia benar kerana masih belum ada kenyataan rasmi daripada Bahagian Komunikasi SPRM berhubung perkara ini.
Abu Kassim antara nama yang disebut-sebut sebagai pengganti kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang meletakkan jawatan semalam.
Semalam Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa mengesahkan peletakan jawatan Dzulkifli dan berkata calon pengganti kini berada di peringkat perbincangan dan akan diumumkan sedikit masa nanti.