Abu Chin Peng: Tunggu kenyataan KDN - Mat Sabu
Wan Syamsul Amly
November 27, 2019 17:22 MYT
November 27, 2019 17:22 MYT
Kementerian Pertahanan menunggu kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam isu melibatkan dakwaan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia, baru-baru ini.
Menterinya, Mohamad Sabu menegaskan, perkara melibatkan isu kesahihan abu, dan bagaimana dibawa masuk ke dalam negara adalah di bawah kuasa KDN sendiri.
“Pendirian selepas siasatan KDN, sebab saya juga apabila berita ini timbul, saya cepat-cepat hubungi Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor (bekas Ketua Polis Negara) yang berunding dan melahirkan perjanjian damai 2 Disember 1989.
“Beliau ada pandangannya , saya akan dedahkan pandangan itu bila saya buat kenyataan nanti, ada juga pandangan lain, ini ada pelbagai perbezaan, saya akan buat pandangan selepas KDN buat siasatan,” katanya pada sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 kementeriannya di sidang Dewan Rakyat, pada Rabu.
Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan, melaporkan abu mayat pemimpin PKM itu sudah dibawa masuk ke negara ini pada 16 September lepas, walaupun kerajaan kekal dengan dasar melarang abu mayat Chin Peng dibawa masuk.
Penyelaras kumpulan yang menguruskan abu mayat berkenaan, Chan Kan Fook, 81, berkata, mereka membawa pulang abu mayat Chin Peng dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu.
Menurutnya, mereka menganjurkan majlis peringatan yang dihadiri lebih 150 orang pada hari yang sama abu mayat itu tiba di Ipoh.
#Abdul Rahim Mohd Noor
#abu Chin Peng
#bekas pemimpin Parti Komunis Malaya
#Chin Peng
#KDN
#Kementerian Dalam Negeri
#Kementerian Pertahanan
#Mat Sabu
#Mohamad Sabu
#tunggu kenyataan KDN