ABIM tuntut bersihkan imej dalam sistem pendidikan di Malaysia
Astro Awani
September 11, 2014 18:18 MYT
September 11, 2014 18:18 MYT
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menuntut agar ditubuhkan satu jawatankuasa yang bebas seperti Suruhanjaya diRaja bagi menyiasat insiden kertas peperiksaan UPSR yang telah didapati bocor untuk membersihkan imej dan kepercayaan terhadap urus kendali peperiksaan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan ABIM, kejadian ini memberikan imej yang cukup buruk terhadap Lembaga Peperiksaan Malaysia yang berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Punca kepada kejadian ini adalah persepsi yang salah terhadap pendidikan di Malaysia sebagai peperiksaan semata-mata.
Ini diakui oleh Dr. Khodori Ahmad, bekas Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia yang dipetik sebagai berkata masyarakat sanggup membuat apa sahaja demi mencatat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan walaupun menyalahi moral, etika dan undang-undang.
Kenyataan itu turut memetik yang UPSR adalah ujian untuk mengetahui tahap penguasaan pelajar di peringkat asas pendidikan negara.
Ia merupakan tapisan pertama untuk memasuki sekolah-sekolah pilihan di peringkat menengah.
Bagi mengendalikan ‘kegilaan’ masyarakat awam yang obses dengan sekolah pilihan seperti Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), maka ABIM turut mencadangkan tapisan pertama untuk memasuki.
Dengan memperkenalkan secara lebih meluas peperiksaan atau ujian kemasukan yang khusus bagi sekolah-sekolah terpilih sedemikian.
Keduanya, untuk merapatkan jurang antara sekolah pilihan dan bukan pilihan dengan memperlengkapkan kemudahan, latihan, kecekapan dan sebagainya.
ABIM juga menuntut agar ditubuhkan satu jawatankuasa yang bebas seperti Suruhanjaya diRaja bagi menyiasat perkara ini untuk membersihkan imej dan kepercayaan terhadap urus kendali peperiksaan dalam system pendidikan di Malaysia.
ABIM juga merakamkan kebimbangan terhadap pelaksanaan PT3 yang akan dikendalikan secara sepenuhnya pada bulan Oktober. Kebimbangan ini berasaskan kepada keputusan PT3 yang akan digunakan sebagai syarat kemasukan ke sekolah-sekolah pilihan seperti SBP dan MRSM.