ABIM sedia debat dengan Kassim Ahmad
Astro Awani
Februari 18, 2014 17:51 MYT
Februari 18, 2014 17:51 MYT
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyahut cabaran debat yang dikemukakan oleh intelektual Melayu, Dr Kassim Ahmad.
Naib Presiden ABIM, Hasri Harun berkata pihaknya berpandangan sudah tiba masanya pihak berwajib mengambil tindakan terhadap Kassim sepertimana ajaran sesat yang lain.
"Dalam hal ini, ABIM bersedia untuk menyahut cabaran debat yang dikemukakan Kassim dengan keadaan beliau bersedia mengubah serta berhenti mengeluarkan pandangan tidak berasas mengenai Rasullulah S.A.W , ulama’, dan tradisi keilmuan Islam.
"Selagi perkara ini tidak disiasat oleh pihak berkuasa agama, pandangan yang diutarakan termasuk menyatakan rambut itu bukan aurat serta mempertikai syahadah kenabian telah memperlihat seolah-olah mendapat “endorsement” dari pihak kerajaan.
"Jika terbukti dan diputuskan idea dan pemikiran Kassim Ahmad bercanggah dengan Islam maka beliau perlu berhenti menyebarkan pandangan beliau dan bertaubat," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan hari ini.
Hasri berkata, ABIM tidak menolak usaha menyuburkan budaya ilmu menerusi wacana dan forum tetapi perlu dilaksanakan dengan tujuan menambahkan lagi kefahaman masyarakat tentang Islam.
Beliau juga mendakwa ABIM pernah mengadakan muzakarah atau dialog dengan Kassim di Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 1986 di Petaling Jaya.
"Menerusi dialog tersebut, anggota panel ABIM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden ABIM (pada ketika itu) Dr Abdul Halim El-Muhammady telah menjawab satu persatu dakwaan kontroversi yang dilontarkan oleh beliau yang secara jelas bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.
"Sepanjang dialog tersebut, beliau (Kassim Ahmad) gagal menjawab serta mengemukakan hujah di atas setiap persoalan yang dikemukakan," katanya.
Sementara itu, bekas mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga menyatakan kesediaan untuk berdialog dengan Kassim yang disifatkan sebagai anti hadis.
Dalam tulisan di laman Facebooknya yang bertajuk 'Wahai anti hadis yang sesat' Dr Mohd Asri berkata menolak hadis yang sahih sebagai sumber hukum Islam jika dilakukan dalam keadaan waras dan sedar membawa individu berkenaan terkeluar dari Islam.
"Mereka yang bersekongkol dengan menzahirkan sokongan ataupun tidak membantah padahal dia perlu membantah dan boleh membantah, maka dia boleh jatuh ke dalam golongan yang sama-sama sesat," katanya.
Kassim dalam satu seminar yang diadakan di Putrajaya pada Ahad dilaporkan antaranya mengkritik “kasta paderi” yang dipanggil ulama, pendewaan terhadap Nabi Muhammad dan berkata rambut bukan aurat wanita.
Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian turut dihadiri oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Semalam Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (ASWAJA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan PAS mengecam kenyataan Kassim itu.