ABIM sanggah Ahmad Maslan, nafi dijemput ke Majlis Penerangan Perdana
Astro Awani
November 15, 2015 12:39 MYT
November 15, 2015 12:39 MYT
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menafikan dakwaan yang dibuat Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri, Datuk Ahmad Maslan bahawa "wakil ABIM bersetuju untuk hadir" dan mendiamkan diri sewaktu ruang soal jawab diberikan walaupun dipanggil berkali-kali ketika Majlis Penerangan Perdana anjuran UMNO di PWTC semalam.
Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab. Rahim menegaskan pihaknya tidak pernah dijemput oleh penganjur untuk menghadiri program tersebut dan tidak pernah mengesahkan kehadiran.
"Justeru itu ABIM kesal dan mengecam kenyataan bohong dan tanpa usul periksa Ahmad Maslan seperti yang telah disiarkan oleh media.
"Kenyataan tersebut jelas amat tidak bertanggungjawab dan tindakannya telah memberikan persepsi yang ternyata palsu kepada masyarakat bahawa ABIM adalah sebuah badan yang tidak bermaruah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau juga menegaskan ABIM konsisten dengan keinginan meneruskan semakan kehakiman selagi mana kerajaan masih berhasrat meneruskan niat untuk menandatangi perjanjian TPPA.
Pada 4 November yang lalu, ABIM bersama UNGGAS dan TERAS telahpun memfailkan satu Permohonan Kebenaran Semakan Kehakiman terhadap Perdana Menteri, MITI dan Kerajaan Malaysia.
Permohonan itu kini ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 November ini.
"Dalam erti kata lain, mana-mana pihak yang terlibat di dalam sebarang pertikaian di mahkamah perlu mengelak dari membuat perkara-perkara yang boleh menggugat proses perbicaraan tersebut.
"Oleh itu, ABIM mengesyorkan kepada Ahmad Maslan, untuk tidak membuat komen yang tidak tepat dan rumusan yang berbentuk sindiran negatif, tanpa nengambil nasihat perundangan yang lengkap," katanya lagi.
Mohamad Rani berkata, ABIM menyifatkan tindakan kerajaan mendedahkan isi kandungan perjanjian TPPA hanya 24 jam selepas tindakan mahkamah diambil pada 4 November merupakan kemenangan awal untuk rakyat.
Katanya, pendedahan itu juga adalah kemenangan moral bagi pihak ABIM dan rakyat Malaysia untuk meneruskan kes tersebut di mahkamah.