ABIM Press lancar semula buku 'Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda'

Bernama
Disember 8, 2022 14:49 MYT
Adam Adli (duduk, dua dari kanan) pada majlis pelancaran Wilayah Matrikulasi dan buku Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda di Dewan Sekretariat ABIM, Gombak hari ini. - Gambar Instagram @AdamAdli_
KUALA LUMPUR: Koleksi penulisan anak-anak muda mengenai perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak usia muda Perdana Menteri itu menerusi buku, Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda terbitan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Press dilancarkan semula, hari ini.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli berkata, pelancaran semula buku itu tepat pada masanya dalam situasi masyarakat kini berhadapan cabaran 'gelombang politik' dengan konservatisme sempit sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
"Saya harap penerbitan buku, Anwar Ibrahim Semangat Darah Muda dan buku Wilayah Matrikulasi yang menghimpunkan pengalaman anak-anak muda ini boleh memberi pencerahan kepada masyarakat. Ia menceritakan pengalaman bagaimana mereka (penulis) mengenali Anwar dari usia muda sehingga beliau diangkat sebagai tokoh.
"Karya-karya dalam himpunan ini dihasilkan secara kesedaran kolektif masyarakat, yang mengangkat tokoh mereka sebagai model, maka bagi saya tiada isu. Terbitnya buku ini pada hari ini, biarlah sampai ke generasi akan datang," katanya pada majlis pelancaran Wilayah Matrikulasi dan buku Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda di Dewan Sekretariat ABIM, Gombak hari ini.
Sementara itu, penyuntingnya, Zairudin Hashim berkata, buku yang melibatkan 22 penulis dari pelbagai latar belakang itu tidak berkonsepkan biografi tetapi merupakan himpunan karya penulisan anak-anak muda yang ditulis secara santai tanpa sebarang bentuk naratif politik.
"Kami sudah terbitkan buku ini pada tahun 2019, namun atas faktor permintaan tinggi kami lancarkan semula dengan mencetak 1,000 naskah baru-baru ini. Sejak 2019, buku ini sudah dijual kira-kira 10,000 naskah.
"Buku ini bukan dari kaca mata mana-mana ahli politik atau parti, sebaliknya bagaimana mereka (penulis) tahu dan kenali Anwar Ibrahim. Karya ini adalah supaya masyarakat tahu sosok Anwar Ibrahim bukan hanya sebagai Ketua Pembangkang... bukan untuk paksa sokong beliau, tetapi agar generasi muda 90-an ini fahami serta tahu perjuangan yang dibawa," katanya.
Terdahulu, buku Anwar Ibrahim: Semangat Darah Muda pernah dilancarkan pada tahun 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) (kini Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur) yang dirasmikan oleh dua orang puterinya iaitu Nurul Izzah dan Nurul Ilham.
Anwar Ibrahim merupakan Presiden ABIM pada tahun 1974 hingga 1984. - BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Semangat Darah Muda #ABIM #Adam Adli
;