Abim desak roadshow Pemuda Umno bersama Shafee tidak diteruskan

Media Statement
Februari 18, 2015 16:53 MYT
Usaha menjalankan roadshow dikhuatiri akan mengundang ulasan liar dan seterusnya ada pihak yang bangkit menjawab hujah, kata Presiden ABIM. - Gambar fail
Tindakan Pemuda Umno yang menganjurkan roadshow bersama pendakwaraya Tan Sri Shafee Abdullah hanya akan membangkitkan ulasan-ulasan liar dan jawapan balas, ujar Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Amidi Abd Manan.
Amidi menyatakan demikian melalui sebuah kenyataan media hari ini:
“Hasrat ini dilaporkan dalam laporan beberapa media arus perdana dan portal berita. Ia disebut dalam ucapan ketika majlis penerangan dan taklimat kes yang disampaikan oleh Tan Sri Shafee Abdullah, seorang peguam kanan.
Abim amat menghormati YB Khairy Jamaludin sebagai seorang pemimpin muda Umno yang bijak, berkaliber dan berfikiran terbuka. Beliau juga tegas dalam mengemukakan pandangan dan sentiasa cuba untuk mengelak kenyataan yang besifat peribadi.
Dalam hal ini, hasrat beliau selaku Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia amat sempit dan membahayakan masa depan negara. Langkah ini adalah langkah 'perbicaraan di luar mahkamah'.
Perbicaraan di luar mahkamah mengundang ulasan-ulasan liar. Jika Pergerakan Pemuda Umno memulakannya, sudah tentu nanti ada pihak lain yang akan bangkit menjawab dan melakukan majlis yang serupa.
Perkara ini secara jelas berupaya menjejaskan kredibiliti sistem kehakiman negara. Perbicaraan di luar mahkamah akan berlangsung secara liar, tanpa etika dan keterlaluan. Mungkin akan berlaku tambahan-tambahan fakta secara semberono dan mengelirukan masyarakat.
Selain dari itu, beliau juga seharusnya peka dengan perkembangan kelompok yang mula muak dan hilang kepercayaan kepada sistem perundangan negara.
Ini terbukti apabila sebuah video dimuat naik baru-baru ini dengan ugutan mahu memusnahkan mahkamah. Seharusnya sebagai seorang pemimpin muda beliau perlu lebih berhati-hati, berpandangan jauh dan bertanggungjawab.
Tindakan ini sekali gus membuktikan bahawa jawapan balas pihak pendakwa yang menolak teori konspirasi politik, dan mahkamah telahpun menerima hujah pihak pendakwa dalam penghakimannya tidak mencukupi.
Tindakan bersabar selama enam tahun oleh pihak Umno adalah tindakan yang tepat. Ini kerana, tindakan itulah yang mengekalkan BN terus memerintah negara.
Kita semua bertanggungjawab untuk memelihara sistem perundangan negara seperti yang terpateri dalam ikrar Rukunegara kita iaitu Kedaulatan Undang-Undang”.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
*Amidi Abd Manan adalah Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)
*Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#ABIM #Anwar Ibrahim #kes liwat ii #Khairy Jamaluddin #mahkamah #Pemuda UMNO #Shafee Abdullah
;