ABIM anjur protes senyap bantah penindasan terhadap Rohingya
Haider Yutim
Mei 30, 2015 13:07 MYT
Mei 30, 2015 13:07 MYT
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) hari ini mengadakan himpunan sebagai tanda solidariti serta protes terhadap penindasan ke atas masyarakat Rohingya yang dikatakan telah dinafikan hak mereka sebagai manusia.
Kira-kira 30 orang telah berhimpun di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad berhampiran Dataran Merdeka di mana ia turut disertai oleh beberapa sukarelawan serta ahli jawatankuasa Majlis Belia Malaysia (MBM).
Rata-rata dari mereka mengenakan pita pelekat pada mulut bagi menunjukkan 'silent protest' atau protes senyap.
Acara yang bermula pada jam 10.30 pagi itu berakhir pada kira-kira jam 11.15 pagi.
Menurut Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan, keengganan Myanmar mengiktiraf masyarakat Rohingya sebagai rakyat mereka merupakan punca masyarakat itu dihalau.
"Jadi kita mendesak Myanmar terbuka untuk berbincang mengenai perkara ini, dan kita dengan jelas ingin memberikan isyarat kepada masyarakat antarabangsa bahawa kita sememangnya membenci dan ingin menghentikan satu nilai yang cukup buruk di sisi nilai kemanusiaan," katanya.
Selain itu, ABIM juga menggesa pelbagai pihak termasuk kerajaan dan negara-negara ASEAN supaya menggerakkan program kesedaran serta advokasi ke arah mengangkat semula maruah masyarakat Rohingya.
Suasana sekitar protes senyap dan kempen #Citizenship4Rohingya. Foto AWANI / SHAHIR OMAR
Menerusi kenyataan yang dibacakan Amidi, katanya kempen #Citizenship4Rohingya (kerakyataan untuk Rohingya) ini melangkaui kepentingan geo-politik serta ekonomi, dan merupakan isu kemanusiaan yang merentasi perbezaan warna kulit, agama dan geografi.
"Atas dasar itu,kempen #Citizenship4Rohingya akan digerakan secara agresif ke seluruh negara sebagai usaha advokasi mendesak kerajaan Myanmar mengiktiraf kewarganegaraan etnik Rohingya sebagai rakyat Myanmar yang bermaruah," kata Amidi lagi.
Peserta mengenakan pelekat pada mulut bagi menunjukkan 'silent protes'. Foto AWANI / SHAHIR OMAR
Dalam pada itu, ABIM turut meluahkan rasa dukacita terhadap tragedi penemuan kem-kem serta perkuburan besar di Wang Kelian, Perlis baru-baru ini.
Isu Rohingya ini timbul semula ekoran baru-baru ini terdapat laporan mengenai kebanjiran 5,000 hingga 6,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Bangladesh dan Myanmar yang terkandas di Selat Melaka dan perairan antarabangsa.
Gimik mayat menggambarkan tentang pelarian Rohingya yang ditinggal mati. Foto AWANI / SHAHIR OMAR
Kebanyakan mereka tiada arah tujuan berikutan kawalan ketat pihak berkuasa Malaysia, Thailand dan Indonesia.
Kemudian, negara dikejutkan pula dengan penemuan 139 kubur pelbagai saiz di kawasan seluas 11 kilometer persegi di gunung Perlis dekat Wang Kelian, Perlis.
Ia kemudiannya membawa pula kepada laporan berita susulan, pemerdagangan manusia, yang mengaitkan juga kepada bukan sahaja Thailand dan Myanmar, malah Malaysia.