Abe bantu bentuk semula dasar luar dan pertahanan Jepun - Bekas Diplomat
Bernama
Oktober 1, 2022 13:59 MYT
Oktober 1, 2022 13:59 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang bekas diplomat Jepun mengimbau pencapaian bekas Perdana Menteri Shinzo Abe dalam memperkasa pertahanan Jepun dan menstabilkan keselamatan di Asia Timur, tatkala Tokyo pada Selasa (27 Sept) mengadakan upacara pengebumian negara yang pertama untuk bekas perdana menteri dalam tempoh 55 tahun.
Bekas Duta Jepun ke Malaysia Makio Miyagawa memberitahu Bernama, Abe memperjuangkan usaha membentuk semula dasar luar dan pertahanan yang sehingga kini telah menyumbang kepada pengukuhan keupayaan pertahanan negara.
"Sistem keselamatan negara Jepun, yang diwujudkan dalam keadaan politik dan ekonomi selepas perang yang masih belum teratur tidak pernah dipinda berikutan sistem perlembagaan negara yang rigid.
"Penambahbaikan yang sederhana mengambil masa bertahun-tahun, kerana mendapat tentangan politik daripada parti pembangkang, media sayap kiri dan ahli akademik.
"Memandangkan kemerosotan keselamatan di sekitar Jepun sejak 20 tahun lalu dan ancaman yang semakin meningkat terhadap keselamatan negara Jepun sendiri, Abe bekerja keras untuk memperbaiki keadaan berdasarkan realisme dan mencapai matlamatnya satu demi satu," kata bekas diplomat berusia 71 tahun itu.
Di samping itu, Miyagawa berkata cabaran terbesar buat Abe adalah untuk meningkatkan belanjawan pertahanan Jepun dan mengembangkan belanjawan penyelidikan serta pembangunan pertahanan Jepun.
"Ini isu yang Abe usahakan sepanjang pentadbirannya sejak awal, yang akhirnya mula membuahkan hasil pada tahun ini, apa yang dikesalkan ia juga tahun yang menyaksikan pemergiannya," kata Miyagawa, yang berkhidmat sebagai Duta Besar Jepun ke Malaysia semasa penggal kedua Abe dari akhir 2012 hingga September 2020.
Abe, menjadi perdana menteri dua kali - untuk tempoh sembilan tahun - dan ketua kerajaan paling lama berkhidmat dalam sejarah Jepun, melakukan yang terbaik dalam mengurangkan cabaran geopolitik yang semakin meningkat di Asia Timur.
Miyagawa berkata berusaha menangani persekitaran keselamatan yang mencabar dan peralihan geopolitik yang berlaku di sekitar Jepun dan di Asia Timur, khususnya perluasan tentera China dan percubaannya untuk mengubah status quo di Asia Timur.
"Beliau mencapai komitmennya untuk mengukuhkan angkatan tentera Jepun, mengukuhkan pakatan keselamatan kami dengan Amerika Syarikat (AS), dan memperdalam hubungan keselamatan dengan negara-negara sahabat di Asia bagi menstabilkan persekitaran keselamatan Asia Timur.
"Tidak dinafikan, untuk mencapai semua itu sekali gus bukanlah suatu yang realistik, dan Jepun masih perlu melangkah jauh ke hadapan. Abe mempertaruhkan karier politiknya dan bekerja keras untuk meminda perlembagaan.
"Malangnya beliau meninggal dunia ketika persekitaran pindaan perlembagaan yang diperlukan itu hampir diwujudkan," kata Miyagawa.
Pada Selasa, beribu-ribu orang yang berkabung mengadiri upacara pengebumian negara Abe yang diadakan di Dewan Nippon Budokan di Tokyo.
Naib Presiden AS Kamala Harris, Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Thomas Bach adalah antara tetamu asing yang hadir.
Pada 8 Julai, Abe yang meletak jawatan pada 2020, ditembak ketika sedang berucap dalam satu kempen di bandar Nara. Beliau dikejarkan ke hospital dan kemudian disahkan meninggal dunia. Polis menahan suspek lelaki bersenjata di tempat kejadian.
-- BERNAMA