Abdul Wahid Omar dilantik pengerusi baharu WWF Malaysia
Bernama
Julai 1, 2022 19:44 MYT
Julai 1, 2022 19:44 MYT
KUALA LUMPUR: WWF Malaysia melantik Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi baharunya berkuat kuasa hari ini.
WWF, dalam kenyataan hari ini berkata Pengerusi Bursa Malaysia Berhad itu mengambil alih jawatan dari Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz yang tamat perkhidmatan selama lapan tahun hari ini dan baginda kini memegang jawatan sebagai Presiden.
Sambil menzahirkan penghargaan atas tanggungjawab yang diamanahkan itu, Abdul Wahid berkata beliau berharap dapat bekerjasama rapat dengan Tunku Ali Redhauddin
"Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Ali Redhauddin atas sumbangan besar baginda sebagai Pengerusi. Saya juga teruja dengan peluang dan cabaran yang bakal dihadapi WWF-Malaysia sebagai organisasi pemuliharaan gabungan antarabangsa terkemuka di negara ini," katanya dipetik dalam kenyataan itu.
Bersama Lembaga Pemegang Amanah dan Pengurusan, pertubuhan bukan kerajaan itu memaklumkan bahawa Tunku Ali Redhauddin dalam pada itu akan membantu memastikan organisasi itu terus bergerak dengan berorientasikan misi dan hasil.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah WWF Antarabangsa Marco Lambertini mengucapkan tahniah kepada kedua-dua tokoh itu atas pelantikan tersebut sambil merakamkan penghargaan kepada Tunku Ali Redhauddin atas dedikasi dan khidmat bakti baginda kepada organisasi itu sejak lapan tahun lepas.
"Rangkaian WWF berbesar hati dalam mengalu-alukan kedua-dua pemimpin berkebolehan ini bagi melaksanakan peranan baharu masing-masing.
"Malaysia, yang memiliki khazanah warisan semula jadi yang begitu banyak dan kelebihan geopolitiknya merupakan negara keutamaan WWF dan saya gembira untuk meneruskan hubungan kerja positif kami demi manfaat rakyat dan bumi ini," katanya.
-- BERNAMA
#Abdul Wahid Omar
#WWF Malaysia
#pengerusi baharu
#Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz
#Pengerusi Bursa Malaysia Berhad