Abdul Latif dilantik Ketua Pengarah Kastam baharu - KSN

Firdaus Azil
Jun 5, 2020 02:51 MYT
Jawatan pertama disandang Abdul Latif ialah sebagai Penguasa Kastam pada tahun 1985. Facebook JKDM
Datuk Abdul Latif Abdul Kadir hari ini dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang baharu, menggantikan Datuk Seri Paddy Abd Halim.
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata, Abdul Latif, 59 tahun, mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya, dan Ijazah Sarjana Sains (Pembangunan Sumber Manusia) dari Universiti Putra Malaysia.
Abdul Latif telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 1985 dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penguasa Kastam di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Beliau berpengalaman luas dalam pelbagai bidang penguatkuasaan, pengurusan pematuhan, perkastaman dan percukaian serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasa dan Pematuhan) dan Pengarah Kastam Negeri.
“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki oleh Abdul Latif, akan membolehkan beliau meneruskan aspirasi JKDM ke arah pentadbiran kastam bertaraf dunia,” katanya lagi.
Sumber Facebook JabatanKastamDirajaMalaysia
Dalam pada itu Mohd Zuki berkata, kerajaan merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Paddy atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam selama 37 tahun.
Paddy, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/GST), dilantik sebagai Ketua Pengarah Kastam berkuat kuasa 1 April 2019.
#Abdul Latif Abdul Kadir #Jabatan Kastam #JKDM #kerajaan #Ketua Pengarah Kastam #KSN #Mohd Zuki #Mohd Zuki Ali #Paddy Abd Halim #penjawat awam