Abdul Khalid diarah menghadap Lembaga Disiplin PKR petang Jumaat

Media Statement
Ogos 7, 2014 10:39 MYT
Abdul Khalid diarah menghadap Lembaga Disiplin PKR petang Jumaat - Gambar fail
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diarah memberi keterangan dalam sesi pendengaran Lembaga Disiplin PKR, jam 3 petang Jumaat.
Pengerusi Lembaga Disiplin KEADILAN, Datuk Dr Tan Kee Kwong dalam kenyataannya berkata, Abdul Khalid juga diminta memberi penjelasan mengenai lima perkara iaitu penstrukturan air Selangor, elaun baharu Menteri Besar, kenaikan cukai bagi lesen perniagaan, pinjaman dengan Bank Islam serta cadangan pembinaan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX).
"Surat arahan ini dikeluarkan lembaga berkenaan semalam sebagai maklum balas kepada surat jawapan tunjuk sebab Abdul Khalid pada 6 Ogos lalu.
"Sesi pendengaran dijangka diadakan di Ibu Pejabat PKR, Jalan Tropicana Selatan 1, Tropicana, Petaling Jaya," katanya
Pada Selasa, Abdul Khalid menerima surat tunjuk sebab gara-gara mengingkari keputusan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang memintanya meletak jawatan sebagai MB.
Surat itu turut memaklumkan, mesyuarat membuat keputusan bersetuju Presiden PKR yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi MB Selangor yang baharu.
Tambah Kee Kwong, jika masa yang ditetapkan itu tidak sesuai, pihaknya mencadangkan masa dan tarikh lain iaitu sebelum jam 12 tengah hari Sabtu kepada Abdul Khalid.
#disiplin #Keadilan #Khalid #langkah Kajang #MB #MPP #PKR #PR