Abdul Karim sahkan perkhidmatan Taib Mahmud tamat Februari, enggan ulas siapa pengganti TYT

Rudi Affendi Khalik
Januari 20, 2024 18:20 MYT
Abdul Karim memaklumkan bahawa tempoh perkhidmatan Tun Abdul Taib Mahmud sebagai TYT Negeri Sarawak ketujuh akan tamat pada 28 Februari depan. - Gambar fail
KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah enggan mengiya atau menidakkan desas-desus pelantikan Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertua Negeri (TYT) Sarawak kelapan.
Sebaliknya, beliau memaklumkan bahawa tempoh perkhidmatan Tun Abdul Taib Mahmud sebagai TYT Negeri Sarawak ketujuh akan tamat pada 28 Februari depan.
“Dan ia terpulang kepada cadangan daripada Kerajaan Negeri dan Yang Di-Pertuan Agong untuk melanjutkan tempoh pemerintahan beliau atau tidak,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Pusat Jualan Kawasaki Kuching di sini pada Sabtu.
Katanya lagi, sama ada khabar angin pelantikan Wan Junaidi sebagai TYT itu betul atau tidak, semua pihak perlu sabar menunggu.
“Bagi saya ini adalah semuanya ramalan-ramalan. Tetapi ramalan kadang-kadangnya betul, kadang-kadangnya tidak betul. Sama macam ramalan cuaca juga.
“(Jadi) kita tunggu kerana sedikit sebanyak kerana kalau ia bersangkut paut dengan jawatan TYT, jawatan TYT yang sedang berkhidmat sekarang (Abdul Taib), kalau tidak silap saya, tempoh perkhidmatan beliau pun tidak lama lagi akan habis.
“Sama ada ia akan dilanjutkan atau tidak, ia terpulang kepada cadangan daripada negeri, dan juga Yang Di-Pertuan Agong. Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang akan menentukan semua ini dan kita tunggu dan lihat,” katanya lagi.
Abdul Karim memberitahu, Abdul Taib yang kini berusia 88 tahun berada dalam keadaan sihat dan beliau sendiri telah menyambutnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada Jumaat malam, sejurus pulang dari luar negara.
“Bagi sayalah, apa-apa yang bermula mesti ada yang berakhir. Dan satu-satu jawatan itu mestinya dipegang oleh orang yang berkemampuan, yang dapat menjalankan tugas.
“Bukan saya hendak mengatakan yang ada (sedang berkhidmat) ini tidak dapat menjalankan tugas. Semua orang tahu bahawa usia semakin meningkat, bukan mudah untuk melaksanakan tugas lagi. Berdiri pun susah dan sebagainya.
"Kita semua akan melalui peringkat itu… jadi saya percaya, apa-apa jawatan, walau betapa besar atau tinggi kedudukan itu, ia akan sentiasa tiba masanya untuk bermula dan sentiasa ada masa untuk menamatkannya," katanya.
Ditanya tentang keadaan Abdul Taib semasa tiba di lapangan terbang, beliau mengakui mereka bertemu dalam suasana ceria dan mesra.
“Saya sentiasa gembira melihatnya dan dia sangat gembira melihat saya. Dia tunjukkan senyuman kepada saya. Saya berasa sangat baik kerana dia adalah bekas bos saya.
"Saya telah berkhidmat kepadanya untuk masa yang lama, dan saya berasa sangat gembira melihatnya. Saya dapat melihat bahawa dia lebih baik dari sebelum ini. Saya mendoakan agar kesihatannya semakin baik," katanya.
Abdul Karim mengulas tentang berita yang tular mengenai peletakan jawatan Wan Junaidi yang sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, pada Jumaat, yang dikaitkan dengan pelantikannya sebagai TYT Negeri Sarawak yang baharu.
Untuk rekod, Abdul Taib merupakan TYT Negeri Sarawak yang ketujuh dan telah memegang jawatan tersebut selama 10 tahun.
Sebelum itu beliau merupakan Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun.
#Abdul Karim #Abdul Taib #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #TYT baharu
;