Abdul Halim Ismail perintis sistem kewangan Islam di Malaysia - CEO Bank Islam

Bernama
Oktober 21, 2024 15:13 MYT
Abdul Halim yang merupakan barisan hadapan industri kewangan Islam selama lebih tiga dekad, meninggal dunia pada usia 85 tahun pagi semalam.
KUALA LUMPUR: Bapa Perbankan Islam Malaysia, Allahyarham Datuk Abdul Halim Ismail memainkan peranan yang amat signifikan dalam merintis dan mengembangkan sistem kewangan Islam di Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Islam Malaysia Bhd Datuk Mohd Muazzam Mohamed.
Abdul Halim yang merupakan barisan hadapan industri kewangan Islam selama lebih tiga dekad, meninggal dunia pada usia 85 tahun pagi semalam.
Mohd Muazzam berkata kali terakhir beliau bertemu Allahyarham adalah pada 26 Jun 2023.
"Walaupun uzur, arwah amat bersemangat apabila berkongsi cerita tentang sejarah awal penubuhan Bank Islam, cabaran yang dihadapi dan amanat kepada kami yang kini menanggung tanggungjawab mengemudi Bank Islam.
"Kehilangan ini amat kami rasai di Bank Islam. Semoga Allah memberikan ganjaran yang sebaik-baiknya serta menempatkan rohnya dalam kalangan orang-orang bertaqwa," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pada 1983, apabila Bank Islam ditubuhkan sebagai bank Islam pertama sepenuhnya di Malaysia, idea tentang sistem perbankan bebas riba adalah sesuatu yang baharu dan belum diterokai di rantau ini.
"Di bawah kepimpinan Abdul Halim, Bank Islam berjaya mengharungi cabaran awal dengan memperkenalkan produk dan perkhidmatan kewangan patuh Syariah yang mematuhi prinsip-prinsip Islam secara ketat.
"Pengaruh Abdul Halim melangkaui Bank Islam sendiri, beliau memainkan peranan penting dalam membentuk kerangka perundangan untuk kewangan Islam di Malaysia.
"Hari ini, Malaysia diiktiraf di peringkat global sebagai peneraju kewangan Islam, suatu pencapaian yang dizahirkan hasil pandangan jauh dan komitmen beliau," katanya.
Mohd Muazzam yang juga Presiden Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) berkata Allahyarham telah memperkenalkan konsep 'Sadaqah House', satu platform yang mengumpulkan sedekah, wakaf dan hibah daripada sektor swasta dan orang ramai untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
"Kami telah mengambil inspirasi daripada visi beliau dan membangunkannya sebagai Sadaqa House Bank Islam pada 2018," katanya.
Selain itu, beliau berkata Allahyarham mempunyai banyak pencapaian, bukan sahaja dalam melaksanakan struktur perbankan moden yang menggabungkan kontrak Syariah dalam transaksi komersial atau mu'amalah tetapi juga dalam penubuhan Syarikat Takaful Malaysia Bhd sebagai alternatif kepada insurans serta pembrokeran saham Islam.
Dilahirkan pada 28 Jan 1939 di Kedah, Abdul Halim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Simpang Empat. Beliau melanjutkan pelajarannya di Al-Maahad Al-Mahmud (Kolej Mahmud) (di Kedah).
Beliau kemudiannya berpindah ke Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHC) untuk meneruskan pendidikan Tingkatan Enam dari 1960-1961 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan pada 1965, beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Ekonomi.
Pada 1966, beliau meneruskan pengajian ke Universiti Oxford untuk memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi, menurut Merdeka Award Trust.
Katanya detik penting Abdul Halim adalah pada 1983 apabila beliau dilantik sebagai Pengarah Urusan Bank Islam yang pertama, bank Islam yang menjadi perintis di Malaysia.
Antara anugerah diterima Allahyarham sepanjang hayat beliau ialah Anugerah Merdeka untuk Pendidikan dan Komuniti (2017); Anugerah Diraja Kewangan Islam (2014); Anugerah Kepimpinan oleh majalah The Asset (2012); Anugerah Tokoh Kewangan Islam oleh Persatuan Bank-Bank Islam Malaysia; Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1425H oleh kerajaan Malaysia (2004) dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Ekonomi) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Utara Malaysia (1995).
-- BERNAMA
#Bank Islam #Bapa Perbankan Islam Malaysia #Abdul Halim Ismail #meninggal dunia
;