Abdul Hadi imamkan solat Jumaat pertama di Masjid Rusila selepas tiga bulan masjid ditutup
Astro Awani
Jun 12, 2020 17:23 MYT
Jun 12, 2020 17:23 MYT
Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengimamkan Solat Jumaat pertama di Masjid Rusila, Marang selepas masjid itu ditutup hampir tiga bulan sebelum ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tinjauan Astro AWANI di masjid itu mendapati lebih 1,000 jemaah menunaikan solat di masjid itu yang lebih dikenali dengan panggilan Masjid Hadi hari ini.
Jemaah yang hadir juga dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka malah terdapat empat kaunter dibuka bagi memeriksa suhu dan mengambil butiran diri jemaah.
Pengerusi Masjid Rusila, Mohd Azri Abdul Aziz berkata, lazimnya setiap kali Solat Jumaat, masjid berkenaan mampu memuatkan lebih dua ribu jemaah berdasarkan keluasan masjid.
Menurutnya, selepas penjarakan dibuat, ia hanya mampu menerima kira-kira 1,500 jemaah sahaja.
“Setelah hampir tiga bulan lebih kita tutup masjid bermula pada PKP, Alhamdulillah pada hari ini setelah diberi persetujuan dan keizinan oleh pejabat agama, masjid kita dibuka kembali mengikut SOP yang telah ditetapkan pejabat agama.
“Antaranya adalah para jemaah mesti membawa sejadah, memakai pelitup muka dan suhu tidak melebihi 37 darjah Celsius. Hanya jemaah yang mengikut SOP tersebut kita benarkan masuk masjid dan solat,” katanya.
Jelasnya, sebelum dibuka kepada jemaah, pihaknya telah melakukan proses sanitasi dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.
Sementara itu, beberapa jemaah yang ditemui juga meluahkan rasa lega selepas sekian lama tidak dapat menunaikan solat di masjid.
Seawal pukul 12 tengahari mereka mula memenuhi perkarangan masjid sebelum melepasi SOP yang telah ditetapkan untuk memasuki ruang solat.
“Memang nak sembahyang, syukurlah. Cuma yang kita harapkan yang datang ini, ikutlah SOP, jangan sampai ada yang langgar SOP,” kata Mohd Saiful Nizam Mohamad.
Seorang lagi jemaah, Abdul Fatah Abu Bakar pula berkata, adalah satu kelegaan apabila dapat menunaikan semula solat berjemaah di masjid.
“Kita telah melalui beberapa fasa sebelum ini dan sudah sedia maklum dengan SOP ditetapkan. Sekarang tanggungjawab masing-masing untuk pastikan keadaan itu dapat dikekalkan,” katanya.
Terdahulu hanya hanya lapan buah masjid terpilih di seluruh Terengganu dibenarkan untuk menunaikan Solat Jumaat.
Namun hari ini semua masjid di negeri itu dibenarkan mengadakan Solat Jumaat dan solat fardu lima waktu secara berjemaah selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bagi membolehkan aktiviti-aktiviti keagamaan terutama Solat Jumaat dan solat jemaah kembali dilaksanakan di masjid.
#Abdul Hadi Awang
#Astro
#Astro Awani
#koronavirus
#operasi
#Parlimen
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#solat fardu lima waktu secara berjemaah
#Solat Jumaat
#SOP
#Sultan Mizan Zainal Abidin
#Sultan Terengganu