Abdul Hadi huraikan usul pindaan RUU 355

Astro Awani
April 6, 2017 13:56 MYT
Sebelum Abdul Hadi bermula, beliau diganggu beberapa orang wakil rakyat, terutamanya dari DAP, yang mempersoalkan kedudukan usul itu sebagai agenda pertama. Astro AWANI TV
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menghuraikan usul persendirian yang dibawanya bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 atau Akta 355 di Dewan Rakyat.
Cadangan meminda Akta 355 itu buat kali pertama dibawa ke Dewan Rakyat pada Mei 2016 dan sekali lagi dibaca pada November.
Ia bertujuan meminda Seksyen 2 akta berkenaan untuk menggantikan perkataan 'penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali' dengan perkataan 'penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan Tatacara Jenayah Syariah'.
Usul itu tersenarai sebagai perkara 1 di bawah Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul Parlimen hari ini tetapi Abdul Hadi hanya dapat memulakan ucapannya pada 12.40 tengahari.
Sebelum Ahli Parlimen Marang itu bermula, beliau diganggu beberapa orang wakil rakyat, terutamanya dari DAP, yang mempersoalkan kedudukan usul itu sebagai agenda pertama.
Yang Dipertua Tan Sri Pandikar Amin Mulia akhirnya mententeramkan keadaan dan meminta Abdul Hadi meneruskan ucapannya.
Beliau disusuli oleh ucapan oleh Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan yang berdiri untuk menyokong usulnya.
Sesi berhenti rehat pada jam 1 tengahari dan bermula semula pada jam 2.30 petang dengan Takiyuddin menyambung ucapannya.
IKUTI LAPOR LANGSUNG KAMI DI SINI
#Abdul Hadi Awang #Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 #Dewan Rakyat #Pandikar Amin Mulia #RUU 355 #Takiyuddin Hassan
;