Abdul Hadi dicadang ganti Nik Abdul Aziz sebagai Mursyidul Am PAS
Irwan Muhammad Zain
Januari 11, 2015 12:34 MYT
Januari 11, 2015 12:34 MYT
Bekas exco Pemuda PAS Pusat, Zulhazmi Shariff mencadangkan supaya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dicalonkan sebagai presiden pada pemilihan parti yang akan diadakan pertengahan tahun ini.
Sebaliknya Zuhazmi mencadangkan supaya Abdul Hadi menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang uzur sebagai Mursyidul Am PAS.
“Saya cadangkan Abdul Hadi melepaskan jawatan Presiden sebab dia sudah duduk dalam Majlis Syura, satu intitusi paling tinggi dalam PAS.
"Kenapa dia yang sudah berada dalam satu institusi paling tinggi nak kita (ahli dan perwakilan PAS) mintak pegang jawatan dalam yang rendah, sepatutnya kita beri dia jawatan yang lebih tinggi.
"Abdul Hadi boleh ambil tugas Nik Aziz yang sudah uzur. Abdul Hadi layak untuk memegang jawatan Mursyidul Am PAS kerana ketokohan dan ilmu yang ada pada Abdul Hadi dan diiktiraf dunia sehingga dimartabatkan sebagai Naib Ketua Ulama Dunia," katanya kepada Astro AWANI.
Zulhazmi juga mencadangkan agar pemimpin PAS yang memegang jawatan dalam Majlis Syura PAS tidak dicalonkan dan tidak menerima pencalonan untuk jawatan dalam Jawatankuasa PAS Pusat.
Katanya, biarpun dalam perlembagaan PAS membenarkan pemimpin yang berada dalam Majlis Syura untuk memegang jawatan dalam Jawatankuasa PAS Pusat namun beliau memberi pandangan atas prinsip pengasingan kuasa.
"Dalam perlembagaan PAS benarkan untuk mereka yang ada jawatan dalam Majlis Syura pegang jawatan dalam Jawatankuasa PAS Pusat, tetapi saya bercakap atas konsep pengasingan kuasa.
"Kita ambil contoh dalam sistem kehakiman, kalau dah jadi hakim di mahkamah persekutuan, tak kan dia juga nak jadi majistret, dia juga nak duduk di mahkamah rayuan.
"Macam juga kalau dah jadi PM, tak kan orang yang sama juga nak jadi MB nak jadi DO, tentunya tugas itu diberikan kepada orang lain," katanya lagi.
Katanya, beliau bimbang berlaku konflik kepentingan jika ada pemimpin yang memegang jawatan dalam Majlis Syura dan Jawatankuasa PAS Pusat.
Selain itu, Zulhazmi berkata, beliau mengemukakan cadangan tersebut supaya lebih ramai pemimpin PAS dapat ditonjolkan bukan hanya bergantung kepada pemimpin tertentu.
"Kalau dalam jawatankuasa PAS Pusat pun dia, dalam Majlis Syura pun dia, kemudian di negeri pun dia juga jadi Pesuruhjaya dan di kawasan dia ketua, semua dia, dah tak ada orang lain ke?
"Jadi lebih elok diberi peluang kepada orang lain juga untuk memegang jawatan, dah duduk dalam Majlis Syura tak perlu rendahkan diri untuk pegang jawatan dalam Jawatankuasa PAS pusat atau di negeri," jelas beliau.
PAS dijangka akan mengadakan pemilihan parti bagi penggal 2015-2017 pada pertengahan tahun ini dan tumpuan diberikan kepada Abdul Hadi sama ada akan mengekalkan jawatan yang disandang atau sebaliknya.