Abdul Gafar dilantik Datuk Bandar Alor Setar
Bernama
Februari 2, 2025 15:15 MYT
Februari 2, 2025 15:15 MYT
ALOR SETAR: Bekas Pegawai Daerah Kuala Muda Datuk Abdul Gafar Yahya dilantik Datuk Bandar Alor Setar yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan Abdul Gafar, 54, bagi menggantikan Datuk Mohd Yusri Md Daud yang bersara wajib pada 30 Jan lepas.
Abdul Gafar berkata beliau berterima kasih kepada kepimpinan kerajaan negeri atas pelantikannya sebagai Datuk Bandar dan bersedia untuk berkhidmat bagi memastikan segala keperluan penduduk dapat dipenuhi dengan baik.
"Saya bertuah dan bangga untuk menerima jawatan ini kerana pencapaian MBAS sebelum ini sangat cemerlang dengan banyak anugerah berjaya diperoleh antaranya ASEAN Standards Clean Tourist City 2024-2026 dan Anugerah Medan Bandar sebagai Dataran Islamik Tersohor.
"Saya akan meneruskan segala perancangan yang telah dibuat oleh bekas Datuk Bandar Alor Setar sebelum ini. Ada beberapa penambahan yang kita akan laksanakan dan apa saya ingin tekankan adalah konsep kolaborasi iaitu kita akan berkerjasama dengan semua pihak untuk memastikan Bandar Alor Setar terus maju," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) diadakan di Dewan Mesyuarat UTC di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan kerap turun padang untuk memastikan masalah seperti banjir kilat, kemudahan awam dan kebersihan dapat diatasi selain mengajak golongan belia di daerah berkenaan untuk bekerjasama dalam membangunkan bandar raya Alor Setar.
-- BERNAMA