Abbott tarik balik dua jenama susu formula daripada pasaran Malaysia
Bernama
Februari 24, 2022 23:54 MYT
Februari 24, 2022 23:54 MYT
KUALA LUMPUR: Dua jenama susu formula keluaran Abbott iaitu Alimentum dan Human Milk Fortifier yang dikilangkan di Sturgis, Michigan, AS telah ditarik balik daripada pasaran di Malaysia.
Kenyataan Abbott hari ini memaklumkan bahawa alasan bagi penarikan itu ialah bagi menguji kehadiran bakteria jenis Cronobacter sakazakii atau Salmonella Newport dalam kedua-dua produk meskipun belum ada yang diuji positif setakat ini.
"Hospital dan farmasi sudah dimaklumkan untuk menghentikan jualan dan Abbott menasihati ibu bapa agar mendapatkan pandangan daripada golongan profesional kesihatan berhubung pilihan pemakanan alternatif.
"Produk lain tidak terjejas dan pengguna boleh terus menggunakannya dengan yakin," menurut kenyataan itu.
Sebarang pertanyaan berkaitan pemulangan dan penarikan balik produk terbabit, orang ramai boleh menghubungi Abbott Nutrition Careline di talian 1800-88-6233 atau e-mel kepada wecare@abbott.com.
-- BERNAMA