Abang Viva, Eva Noza sah bercerai talak satu
Astro Awani
Mac 17, 2025 17:50 MYT
Mac 17, 2025 17:50 MYT
Azwan Omar dan Eva Noza Zakaria mendirikan rumah tangga pada 14 Oktober 2022 dan pernah bercerai talak satu pada Mac tahun lalu sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah. -Gambar fail/Sinar Harian
RUMAH tangga yang dibina aktivis banjir Azwan Omar bersama isterinya Eva Noza Zakaria sejak hampir tiga tahun lalu tidak dapat dipertahankan apabila mereka sah bercerai pada 13 Mac 2025 di Mahkamah Rendah Syariah Melaka Tengah.
Ringkasan AI
- Azwan Omar dan Eva Noza Zakaria sah bercerai talak satu pada 13 Mac 2025 di Mahkamah Rendah Syariah Melaka Tengah.
- Eva Noza memohon cerai secara fasakh, tetapi Azwan setuju untuk bercerai secara baik di hadapan hakim.
- Pasangan ini pernah bercerai talak satu pada Mac tahun lalu sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah, dan tidak mempunyai cahaya mata sepanjang perkahwinan mereka.
Perceraian ini berlaku setelah Eva Noza memohon cerai secara fasakh, namun Azwan setuju untuk bercerai secara baik di hadapan Hakim Aisah Saleh, lapor mStar memetik kenyataan peguam Datuk Mohd Adli Ithnin yang mewakili Eva Noza.
“Ya, mereka sudah bercerai pada 13 Mac.
"Asalnya (Eva Noza) mohon cerai secara fasakh tetapi di dalam mahkamah, pihak suami setuju untuk bercerai cara baik,” kata Mohd Adli.
Eva Noza dalam pada itu menyatakan rasa lega kerana kemelut rumah tangga mereka yang berpanjangan akhirnya dapat diselesaikan di mahkamah.
“Saya lega sebab benda ni dah berlarutan lama. Saya tak mahu bergaduh," kata Evanova yang menganggap ibu bapa Azwan seperti darah dagingnya sendiri.
Dia juga mendedahkan bahawa Azwan telah keluar dari rumahnya di Cheng, Melaka, dan berpindah ke rumah keluarganya di Nyalas, Jasin.
Tambah Eva Noza, dia juga tidak membuat persiapan Aidilfitri bagi menghormati tempoh idahnya.
Sementara itu, Azwan yang lebih dikenali sebagai "Abang Viva", dalam perkongsian di TikTok, menyatakan bahawa perpisahan ini adalah jalan terakhir setelah mendakwa maruah keluarganya tercemar.
Dia juga menegaskan bahawa hidup perlu diteruskan walaupun perpisahan ini menyakitkan.
"Dah cerai dah pun, tak boleh tahan lagi, maruah kita je yang kena pijak.
"Pesan pada hati, ikhlaskan yang sudah pergi, memang sakit untuk dinikmati, tapi sesakit mana pun, itulah realiti," kata Azwan.
Azwan dan Eva Noza mendirikan rumah tangga pada 14 Oktober 2022 dan pernah bercerai talak satu pada Mac tahun lalu sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah.
Mereka tidak mempunyai cahaya mata sepanjang perkahwinan mereka.