'Abang Viva' antara penerima sijil penghargaan bomba
Hasimi Muhamad
Januari 22, 2022 11:35 MYT
Januari 22, 2022 11:35 MYT
PUTRAJAYA: ‘Pemuda yang dikenali dengan jolokan ‘Abang Viva’ antara 10 orang awam yang menerima sijil penghargaan sempena Majlis Perbarisan Tahunan Tahun 2022, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang diadakan di sini, pada Sabtu.
‘Abang Viva’ atau nama sebenarnya Azwan Omar, 30, sebelum ini mencuri tumpuan apabila sanggup datang dari Melaka ke Lembah Klang untuk menyelamatkan mangsa banjir.
Anak bongsu daripada empat beradik itu hanya menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva sambil membawa sebuah bot miliknya dan berbekalkan RM50 demi membantu mereka yang terjejas.
Sijil penghargaan tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.
Bagi kategori orang awam, penyampaian sijil adalah sebagai tanda penghargaan kerana sanggup bergadai nyawa demi menyelamatkan nyawa orang lain dan mengelakkan kerugian harta benda.
Turut menerima sijil penghargaan ialah penerima paling muda, Muhammad Hadif Syazwan Anas, 12.
Anak sulung daripada lima beradik itu bertindak berani menyelamatkan moyangnya daripada dihanyutkan arus dalam tragedi kepala air di Yan, Kedah, 18 Ogos tahun lalu.
Dalam masa yang sama, seramai 15 pengamal media cetak dan elektronik, lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta enam agensi swasta turut menerima sijil penghargaan.
Unit Komunikasi Korporat JBPM dalam kenyataan berkata, jabatan amat menghargai jalinan kerjasama serta kolaborasi publisiti media yang diberikan oleh semua agensi dalam membuat liputan berita serta menyampaikan maklumat yang tepat dan pantas berkaitan operasi-operasi kebombaan dan penyelamatan kepada masyarakat sepanjang tahun lalu.
“Lima PBS dari PBS Jalan Besar Telemong, Janda Baik, Sri Serdang, Kepong Kuala Lumpur, dan Nanding turut diberi sijil penghargaan atas pengorbanan dalam operasi menyelamat mangsa banjir di lokaliti masing-masing pada Disember tahun lalu,” demikian menurut kenyataan itu.
Sementara itu, dalam majlis yang sama Mohammad Hamdan turut melancarkan Skuad Kebajikan JBPM bagi menyantuni pegawai dan kakitangan yang ditimpa musibah semasa musim Monsun Timur Laut.
Turut dilancarkan, Dasar Latihan Kebombaan dan Penyelamatan (DLKP) yang berkuatkuasa pada tahun ini bagi menggantikan Dasar Latihan Sumber Manusia 2007.
Ia sebagai pengemaskinian, penambahbaikan dan pindaan kepada Sembilan teras Dasar Latihan Sumber Manusia sebelum ini.