Abang ugut adik terima padah

Nur Fazlizai Ali
Ogos 22, 2022 08:20 MYT
Padah melakukan ugutan jenayah terhadap adik kandungnya, seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Isnin. - Gambar Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Padah melakukan ugutan jenayah terhadap adik kandungnya, seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Isnin.
Hukuman itu diputuskan, Majistret Noor Mazrinie Mahmood selepas tertuduh Ashimatuddin Ali, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut untuk menyebabkan kematian terhadap adik perempuannya yang berusia 28 tahun sehingga menimbulkan ketakutan terhadapnya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 17 Ogos lalu di sebuah rumah di Kuala Terengganu, pada pukul 5.10 petang.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman penjara bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 18 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Iffah Nabihah Mohd Ishak.
Dalam kejadian itu, tertuduh dikatakan bertindak sedemikian selepas mangsa enggan meminjamkan motosikal miliknya menyebabkan tertuduh naik angin dan mengugut mahu menyebabkan kematian adiknya.
#abang ugut adik #dihukum penjara #ugutan jenayah #Mahkamah Majistret Kuala Terengganu