Abang tikam adik perempuan setelah dihambur kata-kata kesat
Astro Awani
Januari 24, 2017 18:42 MYT
Januari 24, 2017 18:42 MYT
Tidak tahan dihambur kata-kata kesat oleh adik perempuan, seorang abang bertindak menikam adiknya di rumah mereka di Batu 49, Kampung Chepir di Sik, Kedah.
Kejadian berlaku pada pukul 5.30 pagi tadi antara abang yang berumur 15 tahun dan adiknya yang berumur 14 tahun.
Menurut Ketua Polis Daerah Sik, DSP Mohd Ismail Ibrahim, bapa mangsa mendengar jeritan anaknya yang ketika itu sedang tidur di dalam bilik seorang diri bergegas ke bilik anaknya sebelum mendapati anaknya berdarah pada rusuk kiri dan sedang mengerang kesakitan.
Remaja itu kemudiannya dibawa ke Hospital Sik sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar.
Difahamkan, bapanya turut bertindak membuat laporan polis.
Menurut Ismail, suspek didapati membalut hulu pisau yang digunakan untuk menikam adiknya dengan tuala kecil.
Suspek dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu dan pihak polis yang menjejakinya kemudian menemui suspek di rumah tersebut, termasuk pisau yang digunakannya.
Suspek kini direman untuk siasatan lanjut kerana sengaja menyebabkan kecederaan.
Punca kejadian masih disiasat dan hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif syabu.