Abang terkejut adik meninggal dunia akibat lemas di Air Terjun Batu Berangkai

Sinar Harian
Februari 15, 2022 06:20 MYT
Jenazah mangsa dibawa keluar dari Hospital Kampar untuk dikebumikan selepas solat maghrib pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Muhammad Amirul Hafidz, Muhammad Fikri Adam
KAMPAR: "Apabila polis beritahu yang adik saya meninggal dunia akibat lemas saya terkejut kerana dia pandai berenang," kata abang kepada Muhammad Amirul Hafidz Maasor, 20, yang meninggal dunia ketika mandi di Air Terjun Batu Berangkai di sini pada Selasa.
Mohamad Khairul Nizam, 34, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu mahir berenang dan memang sering berkunjung ke pantai serta sungai untuk mandi dan berkelah termasuk bersama keluarga.
Menurutnya, meskipun ahli keluarga terkejut dengan kejadian itu, mereka menerimanya sebagai takdir apatah lagi adiknya yang masih menuntut dalam jurusan elektronik di Politeknik Sultan Idris Shah, Sungai Lang, Sabak Bernam itu meninggal dunia kerana mahu menyelamatkan rakan.
"Saya diberitahu adik saya terjun ke dalam sungai untuk membantu menyelamatkan seorang rakannya yang sedang lemas.
"Mungkin kerana dia tahu dia boleh berenang, jadi dia beranikan diri bertindak sebegitu sehingga mengorbankan nyawanya sendiri," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Kampar di sini pada Selasa.
Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, Muhammad Amirul Hafidz dan rakannya, Muhammad Fikri Adam Azmi, 20, meninggal dunia akibat lemas di kawasan air terjun terbabit.
BACA: Dua sahabat lemas ketika berkelah di Air Terjun Batu Berangkai
Mereka bersama dua lagi rakan dikatakan berkunjung ke kawasan perkelahan itu dari Sabak Bernam, Selangor dengan menunggang motosikal.
Kejadian berlaku apabila Muhammad Fikri Adam disedari berada dalam keadaan terkapai-kapai di tengah lubuk air terjun itu.
Muhammad Amirul Hafidz cuba untuk membantu, namun gagal sebelum turut sama-sama tenggelam.
Dua lagi rakan mangsa yang berada di tempat kejadian dapat menarik keluar Muhammad Fikri Adam, namun dia sudah tidak sedarkan diri.
Mayat Muhammad Amirul Hafidz berjaya ditemui anggota bomba ketika operasi menyelamat dilakukan pada kedalaman tiga meter sekitar jam 11.15 pagi.
Sementara itu, ibu Muhammad Fikri Adam, Nor Hadayah Imam Subawa, 45, berkata, tragedi itu menyebabkan dia kehilangan tempat bergantung harap.
Ibu tunggal itu berkata, sebagai anak sulung, arwah Muhammad Fikri Adam boleh diharapkan untuk menjaga dua adiknya berusia tujuh dan 17 tahun serta banyak membantunya mencari rezeki menerusi perusahaan kuih kapit.
"Dia memang ada beritahu yang dia mahu keluar mandi-manda dengan rakan-rakannya tetapi di Lata Kinjang bukannya di Batu Berangkai.
"Sebelum keluar rumah sekitar jam 7.30 pagi tadi, dia sempat salam dan cium tangan saya. Itulah salam dia yang terakhir," katanya.
Kedua-dua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit Baru dan Kampung Teluk Rhu, Sabak Bernam selepas solat maghrib pada Selasa.
*Berita asal di Sinar Harian
#Muhammad Amirul Hafidz Maasor #Air Terjun Batu Berangkai #Mohamad Khairul Nizam #dua remaja mati lemas
;