'Abang sado' ditetak jiran sebab buat bising
Adie Sufian Zulkefli
April 14, 2020 11:28 MYT
April 14, 2020 11:28 MYT
Akibat tidak berpuas hati dengan bunyi bising yang dilakukan jirannya, seorang lelaki bertindak menetak jiranya dengan parang di Taman Kempas, di sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu, kejadian itu berlaku sekitar pukul 10.30 malam tadi apabila suspek bertindak ke rumah mangsa lalu menjerit memanggilnya keluar.
Katanya, mangsa ketika itu, sedang bermain alatan gim di bahagian ruang tamu rumahnya.
Suspek terus menjerit dan memarahi mangsa serta mendakwa peralatan gim yang dihempas ke lantai itu mengeluarkan bunyi bising yang kuat.
Pertengkaran yang berlaku antara mereka berdua menyebabkan mangsa telah ditetak oleh suspek.
Mangsa mengalami cedera di tepi tapak tangan, lengan dan bahu sebelah kiri serta tulang lengan kiri patah akibat ditetak.
Mangsa kemudiannya di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil serta akan menjalani pembedahan pada tulang tangan kiri.
Jelas Adzli, suspek pula telah ditahan di rumahnya malam tadi dan polis turut menemui sebilah parang sepanjang satu meter dipercayai digunakan dalam pertengkaran itu.
Suspek yang berusia 63 tahun itu kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.