Abang penyampai radio Hefny Sahad turut terjejas banjir
Sinar Harian
Disember 26, 2021 08:30 MYT
Disember 26, 2021 08:30 MYT
KUALA SELANGOR: Abang kepada pelakon dan penyampai radio Sinar FM, Hefny Sahad iaitu Azhar Sahad, 40, antara salah seorang penduduk di Kampung Bestari Jaya, di sini yang terjejas akibat banjir besar Ahad lalu.
Azhar berkata, ketika kejadian dia sedang berniaga di kedai makannya di kampung terbabit dan mula menyedari air naik kira-kira jam 4 petang.
"Air mula naik dengan cepat dari kawasan depan kampung dan kedai makan saya antara yang terawal terjejas dalam banjir kali ini.
"Ketika itu saya segera selamatkan barang-barang di dalam kedai untuk diletakkan di tempat yang lebih tinggi.
"Bagaimanapun dalam masa 30 minit sahaja air sudah naik ke paras lutut dan ada barang-barang makanan serta minuman yang tidak sempat diselamatkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semasa Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters, pada Sabtu.
Tambahnya, dia kemudian segera bergegas ke rumah bapa mertuanya yang terletak tidak jauh dari tempatnya berniaga dan membawanya ke rumah di kawasan perumahan berhampiran apabila paras air semakin tinggi kira-kira jam 8 malam.
Katanya, kejadian banjir pada kali ini banyak menjejaskan penduduk kampung apabila banyak barang tidak sempat diselamatkan disebabkan arus yang deras.
Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Rantau Panjang, Razali Mohd Zain, 54, berkata, kejadian banjir itu telah menenggelamkan separuh daripada rumahnya yang berada di tepi sungai.
Razali menceritakan keadaan sungai yang melimpah hingga menenggelamkan separuh rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Kuala Selangor.
Katanya, banjir besar itu juga menyebabkan laluan utama masuk ke kawasan kediaman mereka rosak dan runtuh ke sungai.
"Saya menetap di sini sejak 30 tahun lalu dan ini adalah kejadian banjir yang pertama kalinya. Ada kira-kira 14 rumah di kawasan ini dan semua jadi seperti pulau.
"Jadi kami semua berharap agar pihak berwajib dapat meninggikan ban di kampung ini. Kami sudah buat permohonan sejak 10 tahun lalu tetapi keluhan kami seperti tidak dilayan," ujarnya.
*Berita asal di Sinar Harian