Abang maut tercampak selepas bawa adik dapatkan suntikan vaksin

Siti Nur Aqilla Omar
September 24, 2021 19:15 MYT
Dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu, mangsa yang berusia 21 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian. - Gambar/ Media sosial
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki maut selepas tercampak ke laluan bawah Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL), di kilometer 4 menghala ke Pandan di sini, apabila motosikal yang dinaiki bersama adiknya terbabas, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu, mangsa yang berusia 21 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, adik mangsa berusia 19 tahun pula mengalami kecederaan ringan akibat terjatuh.
"Maklumat awal mereka dua beradik dalam perjalanan pulang ke rumah di Pasir Gudang. Mangsa yang maut sebelum itu menghantar adiknya menerima suntikan vaksin COVID-19.
"Mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kejadian kemalangan itu dipercayai disebabkan motosikal itu terbabas sendiri dan tidak melibatkan kenderaan lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat, manakala adiknya menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kemalangan maut #dua beradik #suntikan vaksin #Lebuh Raya EDL
;