Abang maut, adik cedera kereta terbabas rempuh tiang elektrik

Nur Fazlizai Ali
Disember 5, 2021 20:21 MYT
Kereta jenis Proton Wira yang dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang elektrik. - Foto ihsan PDRM
SETIU: Seorang pemuda maut manakala adiknya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh tiang elektrik.
Nahas berlaku di Kilometer 70 Jalan Kuala Terengganu - Kota Bharu, Kampung Banggol Setiu sekitar pukul 1.25 tengah hari Ahad.
Mangsa, Muhammad Sharil Naim Zulkefli, 20, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Ketika kejadian, mangsa bersama adiknya, Muhammad Sharil Aiman Zulkefli, 15, dari arah Bandar Permaisuri menghala pulang ke rumah mereka di Kampung Padang Saujana, Setiu.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Affandi Hussin berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Wira yang dipandu mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tiang elektrik.
Katanya, insiden itu juga menyebabkan adik mangsa kecederaan di bahagian dagu dan tangan.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital yang sama.
#abang maut #adik cedera #kemalangan #rempuh tiang elektrik
;