Astro Awani logo

Abang lemas cuba selamatkan adik jatuh tali air di Bachok

Bernama
Januari 27, 2025 00:45 MYT
Abang lemas cuba selamatkan adik jatuh tali air di Bachok
Seorang remaja lelaki maut manakala adiknya masih hilang dalam kejadian lemas di tali air Kampung Kubang Telaga, Bachok, petang tadi.
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki maut manakala adiknya masih hilang dalam kejadian lemas di tali air Kampung Kubang Telaga, Bachok, petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Mohd. Zamizi Muhamad berkata Muhamad Amirul Mukminin Zehan, 17, ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat pada pukul 8.25 malam.
Bagaimanapun, katanya, adiknya, Muhammad Asadullah Zehan, 13, masih belum ditemui dan operasi pencarian sedang diteruskan oleh pasukan tersebut.
Menurutnya pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui Sistem MERS 999 pada pukul 6.36 petang sebelum anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.
"Kejadian dipercayai berlaku apabila Muhammad Asadullah terjatuh terlebih dahulu ke dalam tali air. Abangnya, Muhamad Amirul Mukminin, bertindak terjun untuk menyelamatkan adiknya tetapi turut lemas dalam tragedi tersebut," katanya ketika dihubungi.
-- BERNAMA
#lemas #Kampung Kubang Telaga #hilang #Bachok
;