Abang Johari umum pakej BKSS 5.0 berjumlah RM405 juta
Astro Awani
Januari 21, 2021 14:49 MYT
Januari 21, 2021 14:49 MYT
KUCHING: Kerajaan negeri hari ini mengumumkan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 berjumlah RM405 juta dalam usaha membantu meringankan beban rakyat Sarawak yang terkesan akibat COVID-19 dan banjir.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, tempoh diskaun dan pengecualian bayaran yang diumumkan pada BKSS 4.0 adalah dilanjutkan bermula Januari hingga Jun 2021.
Malah, ketika mengumumkan BKSS 5.0 di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia Abang Johari berkata, kerajaan memutuskan 11 langkah bagi membantu rakyat Sarawak.
"Pertama ialah diskaun bil elektrik sebanyak lima hingga 25 peratus; diskaun bil air dari 10 hingga 25 peratus; diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai; pengecualian bayaran permit dan lesen perniagaan serta pengecualian bayaran sewa kepada pengusaha kecil dan sederhana yang beroperasi di premis milik kerajaan negeri dan badan berkanun.
"Selain itu, diskaun 25 peratus juga diberikan kepada taksiran kadar cukai pintu; diskaun 50 peratus ke atas sewa skim perumahan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC); diskaun 30 peratus ke atas cukai tanah; pengecualian pembayaran lesen hotel dan rumah tumpangan; penangguhan pembayaran premium tanah serta penangguhan pembayaran skim pinjaman industri kecil dan sederhana," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman BKSS 5.0 di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.
Tambah Abang Johari, dalam keadaan yang sukar sekarang ini, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa memikir dan melaksanakan langkah-langkah terbaik untuk membantu rakyat.
"Keputusan yang kita buat ini adalah untuk membantu rakyat pada keseluruhannya bagi meringankan beban mereka dalam meneruskan kehidupan seharian sehingga Jun 2021.
"Kita juga berharap dan berdoa agar dengan adanya vaksin, penularan COVID-19 dapat diatasi selepas Jun 2021," katanya.