Abang Johari umum dua projek bernilai RM73 juta untuk Kapit

Astro Awani
Oktober 5, 2020 14:01 MYT
Abang Johari ketika mengetuai ekspedisi bermotosikal dari Sibu ke Kapit pada Ahad. - Foto: BERNAMA
KAPIT: Jalan baharu dari Ngemah ke Song akses ke Kapit kini lebih mudah dan pantas. Dari Sibu orang ramai kini boleh menggunakan jalan darat sepanjang 110 kilometer untuk ke bandar Kapit
Dengan kemudahan ini, kemasukan orang ramai ke Kapit dijangka meningkat berkali ganda. Ini secara langsung memberi limpahan rezeki buat penduduk di sini.
Justeru Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Ahad mengumumkan 'hadiah tambahan' untuk penduduk Kapit.
Dua projek Infrastruktur dengan nilai RM73 juta telah diluluskan bagi memantapkan lagi industri pelancongan dan keusahawanan daerah ini.
Kata Abang Johari, sebuah pasar akan dibina dengan kemudahan yang lebih kondusif bagi menampung kapasiti pengunjung.
Pada masa sama membuka peluang buat penduduk Kapit menambah pendapatan.
"Sudah tentu pada hujung minggu ramai orang akan bertandang ke Kapit termasuk pelancong.
"Kalau berniaga di tepi jalan sangat bahaya kerana banyak kenderaan yang lalu-lalang. Jadi kita buatkan pasar baharu dengan peruntukan RM15 juta," umum Abang Johari.
Selain itu beliau juga telah meluluskan projek tapak warisan dan lanskap untuk menaik taraf kawasan bersejarah di sini antaranya Kubu Sylvia.
"Lebih RM50 juta untuk buat satu lanskap warisan tapak warisan yang begitu baik.
"Datuk James (Jemut Masing) bisik kepada saya boleh kah?
"Saya cakap dengan James, Petronas sudah bayar, kita beri orang Kapit sikitlah RM58 juta," ujarnya.
Selain Kubu Sylvia yang kini diistiharkan sebagai tapak sejarah, antara mercu tanda bersejarah di Kapit termasuklah Muzium Kapit, Tokong Cina Hock Leong Tieng dan Tugu Teresang.
#Sarawak #Kapit #Ketua Menteri #nilai #Abang Johari #Sibu #Petronas #pelancong #Ngemah #Song #James Jemut Masing
;