Abang Johari umum BKSS 5.0 petang ini, bantuan untuk rakyat Sarawak

Rudi Affendi Khalik
Januari 21, 2021 09:45 MYT
Pengumuman BKSS 5.0 itu akan diumumkan Abang Johari secara dalam talian dari pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia pada pukul 2.30 petang ini. - Foto Bernama
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini akan mengumumkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 dalam usaha memacu ekonomi negeri dan rakyat Sarawak.
Pengumuman BKSS 5.0 itu akan diumumkan Abang Johari secara dalam talian dari pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia pada pukul 2.30 petang ini.
Kali terakhir Kerajaan Sarawak mengumumkan BKSS adalah pada 23 Oktober 2020 melibatkan peruntukan sebanyak RM104.84 juta.
Dalam pengumuman tersebut, ketua menteri mengumumkan empat fasa dan tujuh langkah bantuan untuk meringankan beban rakyat termasuk peniaga yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Ini termasuk diskaun bil air, elektrik dan sewa rumah Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak.
BACA: Sarawak umum pakej BKSS 3.0 bantu ekonomi rakyat
BACA: Ketua isi rumah, individu bujang yang tercicir kini dapat bantuan BKSS
BACA: Diskaun bil air Sarawak dilanjutkan sehingga Disember ini
Bagaimanapun, petang ini Abang Johari dijangka memanjangkan tempoh diskaun tersebut, skim bantuan kepada usahawan dan geran khas untuk merancakkan kembali ekonomi.
Antara fokus lain adalah membantu sektor pelancongan.
Pada 16 Januari lalu, Sarawak memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri itu bermula Isnin lepas kecuali Bahagian Sibu yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Keputusan itu dibuat susulan peningkatan kes COVID-19 di seluruh negeri itu dan yang terakhir semalam mencatatkan angka 203 kes positif baharu.
#BKSS 5 0 #Bantuan Khas Sarawakku Sayang #Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg #Abang Johari #COVID-19
;