Abang Johari tidak ulas spekulasi lantikan Yang Dipertua Negeri baharu

Bernama
Januari 20, 2024 22:01 MYT
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak memberikan ulasan mengenai spekulasi pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang baharu. - Gambar fail/BERNAMA
KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg tidak memberikan ulasan mengenai spekulasi pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang baharu.
Sebaliknya beliau hanya berkata kuasa melantik jawatan Yang Dipertua Negeri merupakan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
"Saya tidak dapat komen, kerana kuasa mutlak (untuk melantik) adalah pada Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Eden Damai Wellness di sini, hari ini.
Beliau juga enggan mengulas laporan bahawa Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah meletak jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.
"Yang itu perlu tanya dengan dia (Wan Junaidi) sendiri," katanya.
Semalam, media melaporkan Wan Junaidi telah menyerahkan surat peletakan jawatannya dan sedang bersiap-sedia untuk menyandang jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang kini disandang Tun Abdul Taib Mahmud.
Abdul Taib secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang ketujuh menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada pada 1 Mac 2014.
-- BERNAMA
#Abang Johari Tun Openg #spekulasi lantikan #Yang Dipertua Negeri Sarawak #Wan Junaidi Tuanku Jaafar
;