Abang Johari optimis pendapatan isi rumah Sarawak meningkat sebelum 2030
Bernama
Julai 8, 2023 20:26 MYT
Julai 8, 2023 20:26 MYT
KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis sasaran kerajaan Negeri untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah menjelang 2030 akan dicapai lebih awal, berikutan pengiktirafan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia baru-baru ini.
Beliau berkata menerusi projek metanol yang bakal beroperasi awal tahun depan, sektor pembuatan dijangka mengalami lonjakan sekali gus menaikkan pendapatan pekerja di sektor berkenaan.
"Menerusi projek metanol, kita dah ada asas kimia untuk menghasilkan industri hiliran berasaskan metanol, oleh itu, sektor pembuatan bertambah, dan ini akan meningkatkan pendapatan negeri seterusnya menghasilkan gaji yang tinggi kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Falak Nusantara 2023 di Tebingan Kuching, hari ini.
Katanya langkah meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat Sarawak turut digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 yang antaranya menekankan penggunaan teknologi baharu, seterusnya menghasilkan peluang pekerjaan.
Abang Johari berkata buat masa ini, sektor terbesar yang menyumbang kepada pendapatan negara kasar (PNK) negeri membabitkan sektor perkhidmatan.
Katanya melihat kepada pertumbuhan ekonomi di Sarawak yang positif, beliau memberi bayangan pendapatan negeri pada tahun ini akan mengalami peningkatan.
Khamis lepas Ahli Ekonomi Bank Dunia Apurva Sanghi dalam catatan di Twitternya berkata Sarawak kini adalah sebuah negeri berpendapatan tinggi dengan pendapatan negara kasar (PNK) negeri telah melebihi ambang pendapatan tinggi.
-- BERNAMA