Abang Johari lepas jawatan, Abdul Karim kini Presiden Saberkas

Astro Awani
September 19, 2020 16:53 MYT
Abang Johari percaya kepimpinan baharu Saberkas dapat bekerjasama sebagai satu pasukan yang mengandungi dan mewakili masyarakat berbilang kaum dan agama. - Astro AWANI
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan pengundurannya Sebagai Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) berkuatkuasa hari ini.
Keputusan dibuat selepas tiga penggal beliau beliau menerajui pertubuhan berkenaan bermula tahun 2009.
"Dengan pemimpin bertukar ganti pemimpin pun mengikut perubahan zaman mestilah bergerak mengikut kehendak negeri dan juga masyarakat.
"Saya telah membuat keputusan untuk mengundur diri menjadi presiden dan saya serahkan kepada pimpinan Saberkas untuk memilih pengganti saya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melancarkan Mesyuarat Agung Tritahunan Saberkas ke-16 di sini, hari ini.
Susulan keputusan itu, Menteri Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dipilih menjadi presiden Saberkas bagi penggal 2020-2023.
"Pada pandangan saya Datuk Karim yang telah bekerja dengan saya selama ini sesuailah untuk terus memimpin Saberkas untuk menyediakan kepada era yang baharu.
"Saya percaya mereka dapat bekerjasama sebagai satu pasukan yang mengandungi dan mewakili masyarakat berbilang kaum dan agama," ujar Abang Johari.
Selain Abdul Karim, Ahli Jawatankuasa Saberkas 2020-2023 turut dibarisi Datuk Abdul Rahman Junaidi selaku timbalan presiden sementara jawatan naib presiden diisi Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Dennis Ngau, Martin Ben dan Abang Abdul Aziz Abang Drauf.
#Abang Abdul Aziz Abang Drauf #Abang Johari #Abdul Karim Rahman Hamzah #Belia #Dennis Ngau #Ketua Menteri #letak jawatan #Martin Be #Media #menteri #pelancongan #presiden #Saberkas #Sarawak #Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali
;