Abang Johari jadi panel Forum Perubahan Iklim di Tokyo minggu depan
Fadilah Sulaiman
Oktober 9, 2022 15:52 MYT
Oktober 9, 2022 15:52 MYT
KUCHING: Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijemput menjadi panel dalam Forum Perubahan Iklim 2022 di Tokyo pada Rabu depan.
Beliau bersama-sama barisan panel pemimpin antarabangsa lain akan membincangkan gerak tindakan menangani perubahan iklim untuk mempercepatkan usaha penyahkarbonan berdaya maju dengan tajuk forum ‘Masa untuk Bertindak’.
Antara yang menjadi fokus adalah meluaskan penggunaan hidrogen hijau di seluruh dunia yang mana Kerajaan Sarawak kini rancak menjadi pemain industri tersebut.
Untuk itu Abang Jo akan mengetuai delegasi lawatan kerja selama satu minggu ke Tokyo mulai Isnin depan termasuk menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dengan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd yang mahu mengembangkan kilang pembuatan sedia ada di Zon Perindustrian Samalaju, Bintulu.
Dalam pada itu, timbalannya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut mengiringi lawatan tersebut termasuk ke kilang Toyota Motor Corporation Motomachi dan bertemu dengan pengurusan Sumitomo Corporation.
Ia diteruskan dengan pertemuan bersama pegawai Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, pengurusan Marubeni Corporation dan Eneos Corporation, selain melawat Muzium Hidrogen Tokyo serta Stesen Hidrogren Tokyo Oi.